Ad

Wednesday 24 December 2014

Gary tunggu kata putus FAM24 Disember 2014 1:24 AM



KUALA LUMPUR – Kemelut me­ngenai status sebenar pemain te­ngah Harimau Malaya, Gary Steven Robbat yang didakwa menandatangani kontrak lebih daripada satu pasukan hanya akan terjawab pada awal Januari depan apabila pihak-pihak yang terbabit mengambil pendekatan mahu mengunci mulut.

Sama ada pemain berusia 22 tahun ini akan beraksi bersama Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kedah, jawapan itu bakal diputuskan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan.

Gary yang dihubungi berkata, mindanya kini mahu menumpukan kepada persiapan Krismas tidak lama lagi sambil menyerahkan soal masa depannya kepada FAM dan bersedia atas apa jua kemungkinan.

“Sekarang saya mahu bercuti selepas sebulan menghadapi Piala AFF dan mahu menyambut Hari Krismas pada Khamis ini.

“Mengenai pasukan yang saya akan wakili pada musim depan, biarlah dahulu.

“Saya akan ikut apa sahaja yang diberitahu FAM nanti dan buat masa ini, saya tidak perlu melapor diri bersama mana-mana pasukan selepas bercuti,” katanya.

Nama Gary difahamkan telah didaftarkan dalam tiga pasukan berbeza, Pahang, JDT dan Kedah sebaik saja pendaftaran pemain ditutup pada 5 Disember lalu sehingga mencetuskan kekeliruan banyak pihak.

Ketika Pahang dan JDT mendakwa Gary telah menurun­kan tandatangan di atas kontrak yang sah, Kedah pula mendakwa kedua-dua pasukan tidak mendapat kebenaran memandangkan dia berasal dari Kulim.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung FAM, Lazarus Xavier ketika dihubungi semalam, enggan mendedahkan secara terperinci butiran terkini kes Gary dan hanya mengeluarkan kenyataan sebaik mendapat kebenaran daripada Jabatan Undang-undang.

Nada yang sama turut disua­rakan oleh Exco Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fahrizal Hassan, yang berkata, mereka hanya akan menunggu kata putus Jawatankuasa Status sebaik sahaja mereka bersidang tidak lama lagi.

“Selepas mendapatkan pandangan peguam, kami mengambil keputusan untuk menunggu apa yang akan diputuskan Jawatankuasa Status dan tidak mahu memberi kenyataan, ” katanya.

Beliau juga enggan me­nyatakan apakah pendirian PBNP dalam kes seorang lagi pemain Pahang, Mohd. Faizol Hussein yang bertindak pergi ke JDT II walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun lagi bersama Tok Gajah.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gary-tunggu-kata-putus-fam-1.40237#sthash.6VFrXjP5.dpuf

No comments:

Post a Comment