Ad

Tuesday, 16 December 2014

Ulang pencapaian 
di Hanoi



 – Dollah17 Disember 2014 1:02 AM
 Dollah
Dollah

BANGKOK - Harimau Malaya sedia memanjangkan tempoh penderitaan pasukan Thailand yang kecewa dalam tiga perlawanan akhir Piala AFF dengan menghadiahkan kekalahan kepada skuad Gajah Perang di Stadium Raja­mangala malam ini.

Tidak memperlekehkan cabaran Thailand, jurulatih negara Dollah Salleh berkata, dia mengharapkan momentum kejayaan yang dicatatkan tiap kali beraksi di gelanggang luar mampu diteruskan.

Ditambah mendapat perkha­ba­ran ketua pasukan Shukor Adan ham­pir pasti dapat diturunkan se­te­lah laporan kecederaan di bahagi­an belakang tidak serius, Dollah semakin lega.

“Kami berharap dapat melakar sesuatu di sini sebagaimana di Vietnam walaupun tiada siapa menjangkakan kami boleh berbuat demikian.

“Sudah empat tahun kami tidak pernah menang ke atas Vietnam dan kali ini kami menang ke atas mereka di tempat sendiri. Keputusan itu sangat bermakna.

“Jadi bukan sesuatu yang mustahil untuk kami melakukannya di sini walaupun semua orang tahu Thailand cukup kuat,” katanya dalam sidang akhbar pengurus pasu­kan menjelang perlawanan akhir pertama semalam.

Menjelaskan situasi Shukor, Dollah berkata, pemeriksaan doktor pada awal pagi semalam mendapati pemain veteran berusia 35 tahun itu boleh beraksi menentang Thailand.

“Kami telah bawa Shukor ke hospital untuk menjalani pemeriksaan di bahagian belakang dan mendapati tiada sebarang masalah.

“Dia boleh beraksi dalam perlawanan esok (hari ini) dengan Thailand, begitu juga dengan Safee Sali.

“Bagi saya Shukor adalah nadi kepada pasukan kerana dia mampu memimpin pasukan dengan baik, begitu juga Indra Putra Mahayuddin yang bertindak selaku watak utama di jentera serangan,” kata­nya.

Berdasarkan laporan dari kem pasukan Thailand, penyerang Kirati Keowsombut serta pertahanan Adison Promrak mengalami kecede­raan dan tidak boleh diturunkan.

Safee, yang turut menghadiri sidang akhbar berkenaan, berkata dia dan rakan-rakan sepasukannya menghormati kekuatan Thailand yang menang dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan, namun tidak bermakna mereka gentar.

“Thailand memang sebuah pasu­kan yang baik kerana tidak pernah kalah dalam peringkat kumpulan.

“Tetapi kami mampu memberi tentangan sengit kepada mereka dalam aksi di peringkat kumpulan, jadi tidak mustahil kami boleh lakar sesuatu,” katanya. – UTUSAN
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ulang-pencapaian-8232-di-hanoi-8211-dollah-1.37292#sthash.uY7eglGd.dpuf

No comments:

Post a Comment