Ad

Sunday 28 December 2014

2.3 Konsep Ummah

Menurut Kamus Dewan, ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat.[1]Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.Dalam konteks Islam umat ialah pemeluk, penganut, pengamal dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.Ibnu Hisham dalam As-Sirah menyatakan bahawa umat (ummah) Islam yang pertama ialah As-Sabiqun al-Awwalun,[2] iaitu golongan pertama yang memeluk Islam di Mekah. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW,masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah.[3]

       Penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah kerana keadaan dan suasana yang berbeza antara kedua-dua kota tersebut.Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Islam telah tersebar di sana menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II, serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda.
       Usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak rintangan telah dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Umat Islam berupaya untuk mendirikan sebuah masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka.
       Nabi Muhammad SAW telah menyatupadukan umat Islam Madinah dan membentuk negara Islam.Selepas Hijrah, masyarakat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.[4]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).
       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.
       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.[5]Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.[6]
Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M). Golongan Ansar telah menjemput Nabi SAW dan para sahabat datang ke Madinah.Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Kaum  Ansar banyak berkorban, sama ada  harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.Mereka dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan yang paling banyak berjasa dalam menegeakkan ajaran tauhid.[7]


[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),12.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),21.
[4] Ibid,21.
[5] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti,1998),53.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,22.
[7] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam,53.

No comments:

Post a Comment