Ad

Tuesday, 16 December 2014

Ulangi aksi bertenaga di Singapura, Hanoi



 – AidilOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
 
 AIDIL (kiri) percaya Harimau Malaya mampu melakar kejutan menundukkan Thailand di Bangkok pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki, malam ini.

SKUAD Harimau Malaya telah menewaskan dua tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di hadapan penyokong mereka sendiri, maka tidak mustahil mereka mampu melakukannya sekali lagi dengan menjadikan Thailand sebagai mangsa ketiga tersungkur di laman sendiri.

Itu keyakinan kapten Malaysia, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak terhadap keupayaan rakan sepasukannya yang akan turun berjuang menentang Thailand pada aksi final pertama kempen itu di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini.

Aidil yang terlepas kempen ini akibat kecederaan memberitahu, skuad kendalian Dollah Salleh itu berpeluang untuk membawa pulang semula trofi yang pernah dimenangi itu pada 2010 seandainya mereka mampu menja­ringkan gol di Bangkok, sekali gus memiliki bekalan gol dan kelebihan jari­ngan di tempat lawan.

“Mereka telah kalahkan Singapura di peringkat kumpulan, malah telah memalukan Vietnam de­ngan jaringan besar di depan penyokong mereka sendiri, jadi saya rasa mereka boleh melakukannya sekali lagi di Bangkok kali ini.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh lalai dan membiarkan pemain Thailand menguasai bola dengan mudah, kita seboleh-bolehnya perlu mendapatkan jaringan supaya tidak tertekan apabila aksi final kedua di tempat sendiri nanti,” jelas Aidil ketika ditemui baru-baru ini.

Aidil digugurkan daripada skuad Harimau Malaya pada saat-saat akhir selepas mengalami kecederaan dan pastinya pemain pertahanan Johor Darul Takzim (Johor DT) itu agak terkilan kerana terlepas peluang melakar sejarah bersama rakan sepasukannya dalam kempen ini.

Namun, bagi Aidil, jiwa dan raganya masih tetap mengiringi skuad Harimau Malaya malam ini meskipun jasadnya tidak bersama mereka.

“Rasa terkilan memang ada juga kerana siapa yang tidak mahu mewakili negara di pentas antarabangsa, lebih-lebih lagi melihatkan rakan sepasukan semua layak beraksi di final.

“Apa pun, doa dan ingatan saya tetap bersama mereka dan saya berharap kita dapat menutup mulut semua pengkritik Harimau Malaya dengan membawa pulang semula Piala AFF Suzuki ini ke Malaysia,” ujarnya lagi.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3M7d1WgGqHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment