AGENSI - KOMBINASi gambar
menunjukkan bahagian serpihan pesawat AirAsia QZ8501 yang ditemui.
JAKARTA – Sebuah kapal tentera
Singapura mengesan fuselaj atau badan pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas
di Laut Jawa pada bulan lalu sekali gus meningkatkan harapan bahawa kebanyakan
mayat 162 mangsa akan ditemui.
Gambar di bawah air menunjukkan
fuselaj retak dan sebahagian sayap Penerbangan QZ8501 itu yang terhempas dalam
cuaca buruk pada 28 Disember lalu semasa dalam penerbangan dari bandar Surabaya
menuju ke Singapura.
Penemuan fuselaj itu merupakan
perkembangan positif terbaru selepas usaha mencari dan menyelamat tergendala
akibat cuaca buruk.
Hanya 50 mayat ditemui setakat
ini dengan sebahagian besar mangsa dipercayai terperangkap di dalam fuselaj
kapal terbang jenis Airbus A320-200 tersebut.
Perkembangan itu menyusul
selepas penemuan dua kotak hitam pesawat berkenaan minggu ini yang menyimpan
maklumat penting bagi membantu pasukan penyiasat mengenal pasti punca nahas.
Bos AirAsia, Tony Fernandes
mengesahkan bahawa fuselaj QZ8501 telah ditemui dalam mesej Twitternya.
“Amat sedih melihat pesawat
kami. Saya amat kecewa dan sedih.
“Kami harap semua tetamu kami
berada di dalamnya,” kata Fernandes.
Dalam perkembangan berkaitan,
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen menyatakan dalam komen di Facebook
bahawa kapal MV Swift Rescue telah mengesan fuselaj sepanjang 26 meter itu
berada pada jarak sekitar 2 kilometer dari lokasi ekor pesawat yang ditemui
sebelum ini.
Mengulas penemuan itu, Ketua
Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Bambang Soelistyo berkata, sepasukan
penyelam akan dikerahkan ke lokasi fuselaj itu hari ini.
“Sekarang sudah gelap, justeru
kami akan melakukan selaman pagi esok (hari ini) dengan matlamat untuk mencari
mangsa-mangsa yang masih berada di sekitar atau terperangkap di dalam fuselaj
itu,” kata Bambang. – AFP
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3OtMsDKUpHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment