SELASA, 27 JANUARI 2015 @ 1:46
PM
Irfan akui jentera tengah dan
serangan FELDA United perlu diperbaiki
KETUA jurulatih FELDA United,
Irfan Bakti Abu Salim ketika sesi latihan pasukannya di Bangi. - Foto Goh Thean
Howe
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih
FELDA United, Irfan Bakti mengakui bahagian tengah dan serangan pasukan
berkenaan masih perlu diperbaiki menjelang aksi sepak mula Liga Super pada 7
Februari ini.
Pengendali berusia 63 tahun itu
menjelaskan pemain di bahagian berkenaan perlu bekerja keras kerana mereka
tidak mempamerkan corak permainan sebenar dalam beberapa perlawanan
persahabatan pra-musim.
"Kita masih ada dua minggu
lagi (sebelum sepak mula Liga Super) dan saya akan cuba memperbaiki kelemahan
dua bahagian terbabit," katanya ketika ditemui pemberita selepas
perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang (MPS), di sini, malam tadi.
Pada perlawanan itu, FELDA
United menang 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Mohd Hadin Azman pada minit
ke-76.
Irfan berpuashati dengan
keputusan diraih dalam beberapa perlawanan persahabatan yang menyaksikan mereka
hanya kalah dua perlawanan iaitu menentang kelab Liga Perdana, PKNS FC dan
kelab Liga Super Indonesia, Persib Bandung.
Beliau turut menyifatkan
pasukan Pulau Pinang kendalian jurulatih dari Brazil, Jackson Ferreira Tiago
mempunyai potensi cerah untuk layak beraksi pada saingan Liga Super 2016.
Sementara itu Tiago berkata
beliau berpuas hati dengan persembahan skuad harimau kumbang itu biarpun gagal
mengekalkan rekod kemenangan selepas 12 perlawanan persahabatan.
"Pemain menunjukkan sikap
yang baik apabila mereka tidak berputus asa mencari gol. Saya bangga dengan
mereka yang mencipta beberapa peluang menjaringkan gol tetapi FELDA United
bermain dengan lebih baik," kata bekas pemain Brazil itu.
Pemain Pulau Pinang nampaknya
sudah belajar daripada perlawanan ini dan beliau berharap mereka akan bangkit
kembali dalam perlawanan persahabatan seterusnya menentang Selangor di Stadium
Shah Alam Rabu ini, katanya lagi.
Pulau Pinang bakal memulakan
kempen Liga Perdana menentang juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Kuantan FA dari Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 6 Februari ini.
FELDA United yang layak beraksi
ke Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana 2014, menerima
kunjungan Sarawak pada aksi pertama Liga Super, 7 Februari ini di Stadium MPS.
- Bernama
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE SELASA
27.1.2015
No comments:
Post a Comment