Reuters - GAMBAR yang dirakam
oleh sebuah kapal selam kawalan jauh milik kapal tentera laut Singapura, MV
Swift Rescue kelmarin menunjukkan badan dan sayap pesawat QZ8501 di dasar Laut
Jawa.
JAKARTA – Arus kuat menyebabkan
usaha kumpulan penyelam Indonesia untuk memeriksa badan pesawat AirAsia QZ8501
yang dijumpai di dasar Laut Jawa terpaksa ditangguhkan, kata para pegawai
semalam.
Pengarah Agensi Mencari dan
Menyelamat Indonesia (Basarnas), Suryadi Supriyadi berkata, operasi oleh
pasukan penyelam itu terpaksa ditangguhkan kerana arus deras menyukarkan
penyelam menghampiri badan pesawat.
“Sehingga kini tiada sebarang
maklumat berhubung penemuan mayat dalam badan pesawat tersebut,” katanya.
Jumlah mayat yang dijumpai kini
meningkat kepada 50 orang selepas dua lagi dijumpai kelmarin.
Para pegawai sebelum ini
percaya lebih banyak mayat masih terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan
yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal yang terhempas di Laut Jawa
pada 28 Disember lalu.
Menteri Pertahanan Singapura,
Ng Eng Hen kelmarin memberitahu bahawa badan pesawat itu ditemui oleh sebuah
kapal negara itu, MV Swift Rescue.
Badan pesawat tersebut ditemui
kira-kira 2 kilometer dari lokasi ekor pesawat berkenaan.
Pasukan penyelamat juga berjaya
membawa naik dua kotak hitam yang mengandungi rakaman data penerbangan dan
rakaman suara kokpit.
Seorang pegawai penyiasat di
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia, Masruri Abdul Hakim
berkata, data daripada kedua-dua rakaman berkenaan sudah dimuat turun.
“Data ini akan dianalisis dan
para pegawai penyiasat diberi tempoh selama 12 bulan untuk melengkapkan
siasatan sebelum mengeluarkan laporan akhir kemalangan tersebut,” katanya.
Pesawat Airbus A320-200 milik
AirAsia Indonesia itu hilang daripada radar kira-kira 40 minit selepas berlepas
dari Surabaya, Indonesia menuju ke Singapura.
Pesawat itu dinaiki 155 warga
Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura,
Malaysia, Britain dan Perancis.
Pesawat itu terhempas ke dalam
Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk. – dpa
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3OyWQ7JqSHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment