Ad

Friday 16 January 2015

Gary milik Harimau Muda C


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
IMBAS KEMBALI. Gary (depan) diperkenalkan kepada penyokong Johor pada majlis pelancaran jersi serta memperkenalkan pemain Johor DT 2015 di Johor Bahru pada 30 Disember tahun lalu.

‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Mungkin peribahasa itu tepat untuk mengambarkan situasi yang menimpa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung perebutan pemain tengah Harimau Malaya, Gary Stevan Robbat.

Drama ‘cinta tiga segi’ itu berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan perjanjian Gary yang berasal dari Kulim itu bersama PBNP dan PBNJ adalah tidak sah memandangkan kedua-dua persatuan terbabit mengikat Gary sebelum kontraknya tamat pada 1 Disember tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takyuddin Hassan yang juga mendedahkan, KFA tidak boleh menuntut Gary sebagai pemain negeri tersebut memandangkan perancang berusia 22 tahun itu memulakan karier profesional bersama Harimau Muda C.

Jelas Takiyuddin, KFA tidak berhak menuntut Gary kerana berdasarkan peraturan FAM dalam Perkara 4, Jadual C - Syarat-syarat Khas, Kontrak Pemain antara Gary dengan Harimau Muda yang mana setelah pemain tamat perkhidmatan bersama dengan FAM.

“Oleh kerana Gary memulakan karier sebagai pemain bola sepak bersama skuad Harimau Muda C, maka KFA tidak mempunyai hak ke atas Gary apabila Gary menamatkan kontraknya bersama Harimau Muda.

“Memandangkan Harimau Muda C adalah pasukan asal Gary dan dia sudah tidak layak mewakili Harimau Muda C atas faktor had umur, Gary telah diisytiharkan sebagai ejen bebas dan tidak dimiliki oleh mana-mana pasukan.

“Bagaimanapun, Jawatankuasa Status FAM telah memutuskan bahawa Gary bersalah kerana menandatangani kontrak bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) sebelum tempoh dilepaskan oleh pasukan Harimau Muda. Sehubungan itu, Gary dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 dan digantung selama tiga bulan bermula dari tarikh beliau diputuskan bersalah (semalam),” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, status Gary menimbulkan tanda tanya apabila dia dikaitkan dengan tiga pasukan iaitu Kedah, Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Pahang pada musim ini.

Lebih mencetuskan kontroversi apabila Gary didakwa telah menandatangani perjanjian bersama PBNP tetapi menyarung jersi Johor DT termasuk bersama pasukan itu menjalani perlawanan pramusim di Australia, baru-baru ini.

Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, PBNJ turut didenda RM100,000 dan diberi amaran keras kerana didapati bersalah menandatangani Gary sebelum pemain itu dilepaskan FAM.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3P3esAEbmHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment