Ad

Friday, 9 January 2015

Cahil terajui kebangkitan Socceroos



10 Januari 2015 12:35 AM
 
PEMAIN Australia, Massimo Luongo (dua dari kiri) menanduk bola
PEMAIN Australia, Massimo Luongo (dua dari kiri) menanduk bola untuk menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Kuwait dalam perlawanan pembukaan Piala Asia di Melbourne, Australia semalam. – AFP
Advertisement

MELBOURNE – Australia bermula dengan goyah tetapi menamatkan perlawanan pembukaan Piala Asia di laman sendiri dengan kemena­ngan besar selepas Tim Cahill, Massimo Luongo, Mile Jedinak dan James Troisi menjaringkan gol ketika mereka mem­belasah Kuwait 4-1 semalam.

Selepas majlis perasmian yang menampilkan penyanyi pop Australia, Havana Brown membuat persembahan, skuad Socceroos memasuki padang dengan penuh bergaya dan mendapat sorakan gemuruh dari penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, penyokong Australia membisu sejurus pemain pertahanan Kuwait, Hussain Fadhel membuka jaringan seawal minit kelapan, menerusi gerakan yang memperlihatkan kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah.

Enggan mengalah, Socceroos akhirnya bangkit melalui penye­rang veteran Cahill pada minit ke-32 sebelum pemain te­ngah Luongo menambah jaringan sebelas minit kemudian untuk membolehkan Australia mendahului 2-1 ketika rehat.

Babak kedua me­nyaksikan kapten Socceroos, Jedinak menyudahkan penalti pada minit ke-63 sebelum pemain tengah Troisi melengkap­kan kemenangan 4-1 pada masa kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Australia di kedudukan teratas dalam Kumpulan A manakala dua lagi pasukan dalam kumpulan itu, Korea Selatan dan Oman akan bertemu di Canberra hari ini.

“Seperti impian menjadi kenya­ta­an, permainan (antarabangsa) pertama saya di Australia dan saya sangat gembira.

“Ia membuatkan kami bersemangat bagi menghadapi persa­ingan dalam kumpulan. Walaupun awalnya kami ketinggalan 1-0, namun kami bersemangat untuk bangkit semula dan mengejar kemenangan.

“Kecewa sekiranya kami tersingkir awal. Tetapi semua orang tahu, kami ada matlamat dalam perlawanan ini. Kami perlu bersabar dalam usaha memecahkan benteng pertahanan mereka,” kata pemain terbaik perlawanan, Luongo kepada Fox Sports. – DPA
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cahil-terajui-kebangkitan-i-socceroos-i-1.46247#sthash.L2c6rN21.dpuf

No comments:

Post a Comment