Ad

Monday, 26 January 2015

Impian Olimpik kian menyala

Malaysia belasah Poland 8-0 untuk lengkapkan aksi cemerlang
26 Januari 2015 12:46 AM
 Muhammad RAZIE ABDUL RAHIM puas berjaya merobek gawang Poland
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Liga Hoki Dunia
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua selepas membelasah Poland 8-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang, Singapura semalam.

Advertisement
SINGAPURA - Kejayaan membelasah Poland 8-0 untuk dinobat sebagai juara Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua semalam, menyuntik semangat pasukan hoki negara untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik buat kali pertama selepas 15 tahun.
Selepas kali terakhir merasai nikmat beraksi di pentas Olimpik pada Temasya Sydney 2000, anak-anak buah Tai Beng Hai menunjukkan keghairahan untuk mencari tempat di Rio 2016 apabila mempamer aksi garang sepanjang kempen di Si­ngapura.
Kejayaan muncul juara Pusingan Kedua membolehkan Malaysia ber­aksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium (20 Jun-4 Julai) dengan penuh berkeyakinan. Kejohanan itu menjadi pentas terakhir untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik 2016.

“Pemain kita bermain dengan sepenuh hati dan menguasai perlawanan. Saya yakin kami akan menang tetapi tidak sangka boleh menang dengan jumlah gol yang besar.
“Strategi kami untuk mencari gol awal nyata menjadi biarpun diberi tekanan oleh lawan.
“Sekarang, misi kami adalah bermain baik pada Separuh Akhir Liga Dunia, Jun ini, seterusnya layak ke Sukan Olimpik. Kita sudah lama tidak beraksi Olimpik sejak temasya di Sydney 2000,” kata pengurus pa­sukan negara, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Dalam perlawanan di Stadium Sengkang semalam, perubahan corak permainan menjadi resipi Malaysia untuk menjinakkan Poland, sekali gus menghukum jurulatih mereka, Jerzy Joskowiak yang sebelum ini menguji keupayaan de­ngan menentang pasukan negara dalam beberapa aksi persahabatan di Kuala Lumpur.
Tirai jaringan The Speedy Tiger dibuka Faizal Saari menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga sebelum kapten, Muhammad Razie Abdul Rahim menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.
Muhammad Razie menyumbat gol ketiga pada minit ke-21 dan dia seolah bergilir dengan Faizal yang menyempurnakan jaringan padang pada minit ke-33 untuk kedudukan 4-0.
Nabil Fiqri Mohd. Noor, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abd. Jalil dan Muhammad Haziq Shamsul masing-masing meledak satu gol pada minit ke-42, 48 dan 54.
Razie melengkapkan pesta gol dengan menyumbat gol kelapan Malaysia pada minit ke-60.
Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam menyempurnakan majlis penyampaian hadiah yang turut menyaksikan Faizal menerima anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan berjumlah 12 gol.
Dalam penentuan tempat ketiga, Jepun menumpaskan Oman 4-0 untuk meraih slot terakhir ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, mengiringi Malaysia dan Poland.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/hoki/impian-olimpik-kian-menyala-1.52481#sthash.nL4C1loB.dpuf

No comments:

Post a Comment