Ad

Monday, 19 January 2015

PFAM sedia bantu Gary rayu kepada FAM


 

19 Januari 2015 12:32 AM

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sedia membantu Gary Steven Robbat jika pemain muda berusia 22 tahun itu berhasrat mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar hukuman ke atasnya dikurangkan.
Izham Ismail
Namun, Presiden PFAM, Izham Ismail berkata, semuanya bergantung kepada pendirian Gary sama ada mahu meneruskan proses rayuan atau tidak dan mereka sedia memberikan masa kepadanya membuat keputusan.
Sedar Gary mungkin masih dalam keadaan terkejut selepas menerima hukuman berkenaan yang memaksanya menggantung but selama tiga bulan, PFAM sedia berbincang secara bersemuka mengenai masa depannya jika dimahukan oleh Gary.
“Buat masa ini kami belum lagi bincang dengan Gary, kami masih menunggu surat bertulis daripada Jawatankuasa Status mengenai kesalahan dan hukuman Gary dan dari situ kami akan tunggu respon Gary, sama ada dia mahu merayu atau sebaliknya.
“Walaupun begitu, apa jua keputusan oleh Gary, kami di PFAM akan sentiasa membantunya jika dia hendak apa-apa (bantuan), namun apa-apa pun kita kena tunggu surat daripada FAM.
“Gary pun mungkin masih terkejut atau sedih dengan apa yang berlaku...jadi lebih baik beri dia sedikit ruang sebelum dia membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selepas terbabit dalam konflik tiga segi bersama JDT, Kedah dan Pahang, Gary mengetahui nasibnya pada Jumaat lalu apabila Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan mendenda pemain itu sebanyak RM50,000 dan digantung permainan selama tiga bulan berkuat-kuasa serta merta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Status, Datuk Takiyuddin Hassan, Gary didapati bersalah melanggar Artikel 17: Peraturan dan Status Pemindahan kerana menandatangani kontrak bersama pasukan lain ketika masih belum dilepaskan oleh FAM.
Gary menandatangani kontrak dengan JDT pada 21 November 2014 ketika masih terikat dengan FAM. Dia sebelumnya berbuat yang sama dengan Pahang pada 14 November 2014 dan situasi itu memaksa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM100,000 sementara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) diberi amaran keras.
Bercakap kepada Utusan Malaysia kelmarin, Gary berkata, dia tetap akan memilih beraksi dengan Harimau Selatan sebaik sahaja hukuman penggantungan berakhir dan akan terus menjalani latihan bersama JDT bagi mengekalkan tahap kecergasan.
Tambahnya, apa yang berlaku menjadi pengajaran berguna supaya dia menjadi pemain yang lebih matang pada masa hadapan dan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pfam-sedia-bantu-gary-rayu-kepada-fam-1.49372#sthash.6OKkswcf.dpuf

No comments:

Post a Comment