SABTU, 31 JANUARI 2015 @ 11:08
PM
Kapten JDT, Safiq Rahim
(tengah) menjulang trofi kemenangan bersama rakan sepasukan apabila menjuarai
Piala Sultan Ahmad Shah 2015 selepas menewaskan Pahang 2-0 dalam perlawanan
Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren
Jamaludin
JOHOR BAHRU: Misi membalas
dendam terlaksana, malam ini apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Pahang
2-0 untuk muncul juara perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
Dua gol pada setiap babak
permainan oleh pemain import, Marcos Antonio dari Brazil pada minit ke-37 dan
Luciano Figueroa (Argentina), minit ke-58 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin berjaya mengakhiri kemarau piala berkenaan selama 29 tahun.
Kemenangan ini juga memberi JDT
tiga mata dalam perkiraan kancah Liga Super manakala Pahang jelas gagal
menjelmakan perwatakan lama apabila mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas
lawan.
Kali terakhir skuad Harimau
Selatan memenangi gelaran sulung perlawanan sumbangsih adalah pada 1986.
Pada perlawanan yang disaksikan
kira-kira 25,000 penonton, JDT menguasai keseluruhan babak pertama.
Namun, tiga percubaan
berturut-turut oleh pemain import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit
ke-13, 14 dan 18 gagal disempurnakan dengan baik.
Mahali Jasuli dan Figueroa juga
turut melakukan percubaan bahaya masing-masing pada minit ke-30 dan 33 namun
sekali lagi gagal menewaskan penjaga gol, Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd
Khalid.
JDT bimbingan jurulatih Bojan
Hodak, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Santos menanduk masuk bola
sepakan sudut ke gawang Pahang.
Selepas rehat, permainan lebih
seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan.
Bagaimanapun, JDT berjaya
mengukuhkan kedudukan apabila Figueroa menanduk cantik sepakan sudut oleh
kapten Safiq Rahim untuk mengesahkan kemenangan. - BERNAMA
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT)
Luciano Gabriel Figueroa, mendada bola untuk diumpan kepada Jorge Pereyra Diaz
walau dikawal ketat beberapa pemain Pahang pada perlawanan Sumbangsih di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
1.2.2015
No comments:
Post a Comment