Terbang terlalu perlahan ketika
hampiri kawasan cuaca buruk
30 Disember 2014 2:09 AM
JAKARTA 29 Dis. – Pakar
penerbangan mendakwa pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang dalam perjalanan dari
Surabaya ke Singapura semalam mungkin terbang terlalu perlahan apabila
menghampiri kawasan cuaca buruk.
Portal berita Herald Sun
melaporkan Pengarang laman web penerbangan, airlineratings.com, Geoffrey
Thomas, percaya pesawat QZ8501 menghadapi cuaca buruk namun terbang terlalu
perlahan untuk mengelak keadaan itu.
“Juruterbang-juruterbang yang
saya temui percaya anak kapal pesawat QZ8501 cuba mengelak ribut dengan
meningkatkan altitud namun mendapati mereka terbang terlalu perlahan dan
mengurangkan keadaan pegun aerodinamik, keadaan hampir sama dalam kejadian
pesawat Air France AF447 yang terhempas pada 2009,” katanya.
Thomas berkata, pesawat Airbus
A320 itu terbang terlalu perlahan pada kelajuan kurang kira-kira 100 knot iaitu
kira-kira 160 kilometer sejam berbanding kelajuan sepatutnya pada altitud
ketika kejadian itu, satu perkara yang sangat berbahaya.
“Saya ada plot radar yang
menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian 36,000 kaki dan pada kelajuan
353 knot, yang sepatutnya pesawat itu berada kelajuan kira-kira 453 knot.. jika
perolehan radar adalah benar, QZ8501 terbang terlalu perlahan di altitud itu,”
katanya.
Beliau berkata, keadaan itu
tidak sepatutnya berlaku kepada pesawat canggih tersebut jadi apa yang berlaku
dilihat mempunyai kaitan dengan cuaca buruk.
“Pesawat mungkin terperangkap
dalam satu pusaran angin atau sesuatu seumpama itu. Sesuatu yang menimbulkan
masalah.
“Pada asasnya, pesawat itu
terbang terlalu perlahan di altitud dengan tekanan udara rendah, dan sayap
pesawat tidak akan menyokongnya pada kelajuan itu menyebabkan wujudnya keadaan
pegun aerodinamik,” katanya.
Thomas menambah, walaupun
pesawat itu canggih namun tidak dilengkapi sistem radar terkini.
Beliau berkata, radar digunakan
pesawat itu adakalanya mempunyai masalah dalam ribut dan juruterbang mungkin
‘tertipu’ berhubung tahap ribut petir tersebut.
“Teknologi radar terkini yang
digunakan Qantas pada 2002, boleh memberikan bacaan lebih baik berhubung ribut
petir namun masih belum diluluskan untuk penggunaan pesawat Airbus 320,”
katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pesawat-terperangkap-dalam-pusaran-angin-1.42584#sthash.mFX0ZIUp.dpuf
No comments:
Post a Comment