Ad

Friday, 30 January 2015

‘Gading’ Tok Gajah sedia bertempur

‘Gading’ Tok Gajah sedia bertempur
Pemain-pemain Pahang bergaya untuk jurugambar selepas sesi latihan
30 Januari 2015 1:08 AM
Pemain-pemain Pahang bergaya untuk jurugambar selepas sesi latihan mereka di Bangi, Selangor semalam. Pahang akan ke Johor Bahru untuk menentang JDT dalam perlawanan sumbangsih esok.

KUALA LUMPUR – Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ta­hun lalu, Dickson Nwakaeme menjadi ‘gading’ yang menikam Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjadi penyelamat kepada pasukannya yang mengekalkan trofi berprestij tempatan itu di bumi Pahang.
Pemain dari Nigeria itu menyumbat gol pembukaan selain menyamakan kedudukan setelah Tok Gajah ketinggalan 2-1 selang beberapa minit selepas Saiful Nizam Miswan dibuang padang, menyebabkan aksi Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) diheret ke sepakan penentuan penalti.
Tok Gajah menang 5-3 dalam sepakan penentuan tersebut dan kejayaan penuh dramatik itu masih segar dalam ingatan peminat Pahang biarpun hampir tiga bulan telah berlalu.

Ketika ditemui selepas sesi latihan Pahang di Bangi, Selangor semalam, pemain berusia 29 tahun itu berkata, bukan sahaja prestasi tetapi semangatnya juga berada pada tahap yang tinggi dengan menyerap kejayaan dalam pertandingan Piala Malaysia untuk diaplikasikan ke dalam perlawanan sumbangsih.
“Saya ingin mengulangi kejayaan di sana (Piala Malaysia) dengan meraih piala sumbangsih. Saya tidak kisah siapa yang jaringkan gol. Jika saya meledakkan gol, saya bersyukur.
“Walaupun saya gembira sekiranya dapat menjaringkan gol, tetapi apa yang penting adalah mahu melihat Pahang menang perlawanan sumbangsih sekali lagi.
“Saya juga selalu mengimpikan Pahang sentiasa berada di kedudukan teratas (Liga Super),” katanya sambil tersenyum.
Ketika ditanya adakah dia berasa gemuruh untuk bertarung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru pada Sabtu ini, Nwakaeme berkata, gelanggang keramat JDT itu sedikit pun tidak menggentarkannya.
“Saya rasa tiada tekanan bermain sebagai pasukan pelawat. Ini bola sepak, jika anda tertekan sebelum permainan, lebih baik anda balik rumah, tidur. Ini adalah tugas saya untuk bermain setiap tahun, tidak kisah bersama pasukan mana.
“Lagi pun saya memilih kekal bersama Pahang kerana mereka bagaikan bermain dalam satu keluarga. Itu yang membuatkan saya tertarik dengan skuad Tok Gajah.
“Saya sangat selesa bermain dengan Pahang. Bermain bola sepak jika tidak selesa memang susah,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-gading-8217-tok-gajah-sedia-bertempur-1.54083#sthash.EMbRA16t.dpuf

No comments:

Post a Comment