Ad

Monday, 19 January 2015

Abdul Rahman beri bayangan tinggalkan Terengganu

ISNIN, 19 JANUARI 2015 @ 8:02 PM

  
KUALA TERENGGANU: Pengendali skuad Terengganu Abdul Rahman Ibrahim memberi bayangan dia bakal berundur selepas tamat musim ini.

Abdul Rahman, 69, anak jati Terengganu yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun membimbing pasukan bola sepak tempatan dan luar negara, dijangka meninggalkan skuad Terengganu pada penghujung musim ini selepas dua tahun menabur bakti.

Beliau yang pernah membimbing skuad negara dari 1998 hingga 2000 berkata, hanya masa menentukan kedudukannya pada penghujung musim ini dalam arena bola sepak tempatan.


"Ini mungkin musim terakhir saya, tengoklah keadaan...sudah sampai masa atau macam mana saya akan beritahu. Cuma sekarang, saya hanya mahu fokus kepada pasukan Terengganu dalam mengharungi musim baharu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas sasaran bagi musim baharu ini, Abdul Rahman berkata sebagai jurulatih, beliau akan berpuas hati sekiranya anak didiknya berjaya mencapai kedudukan dalam kelompok tiga teratas dalam saingan Liga Super.

"Semua pasukan semestinya ingin merangkul piala. Bagaimanapun, kita perlu lihat pada skuad dan negeri lain yang bertanding pada musim ini.

"Sasaran menduduki sekurang-kurangnya di tangga ketiga mungkin lebih realistik dan pastinya pemain akan berusaha keras," katanya.

Untuk rekod, selaku jurulatih Abdul Rahman pernah menjulang Piala Malaysia pada 2006 bersama pasukan Perlis. - BERNAMA

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 19.1.2015

No comments:

Post a Comment