Ad

Thursday, 1 January 2015

Peranan Piagam Madinah

Piagam Madinah merupakan Perjanjian bertulis atau perlembagaan pertama di dunia. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah selain al-Quran. Piagam Madinah memainkan peranan yang besar dalam menggariskan dasar-dasar umum pemerintahan negara dan pentadbiran masyarakat yang menjadi asas pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan umat baginda selepas itu.[1]

Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemerintah tertinggi dan Unggul
Baginda merupakan seorang negarawan yang unggul dan berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan Madinah yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.Masyarakat Madinah menerima baginda sebagai ketua negara Madinah.
       Baginda memberi tumpuan terhadap aspek akidah dan juga aspek duniawi dalam pemerintahannya. Piagam Madinah meletakkan baginda sebagai ketua kerajaan dan hakim yang tinggi dan unggul. Sebagai ketua hakim, baginda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah seperti perselisihan kaum berdasarkan hukum Allah SWT dan keputusan baginda. Masalah ini juga diselesaikan dengan adil dan bermusyawarah.Baginda juga mewujudkan institusi kehakiman dan keadilan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.[2]
Mewujudkan Rasa Tanggungjawab Mempertahankan Madinah
Semangat Piagam Madinah telah mendorong masyarakat Madinah yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam bersama-sama mempertahankan kerajaan Madinah daripada serangan musuh.Masyarakat Madinah dilarang menjalinkan hubungan dengan musuh-musuh Islam yang menentang kerajaan Islam Madinah.
       Untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang permusuhan antara masyarakat Madinah, semangat cintakan negara dipupuk. Oleh itu, semangat ini dapat mengelakkan musuh Islam mengambil kesempatan menawan Madinah.
       Kaum Yahudi dianggap sebagai warganegara Madinah seperti masyarakat Islam selagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka menurut Piagam Madinah.
Mewujudkan Perpaduan Umat lslam
Masyarakat Islam Madinah terdiri dua kumpulan, iaitu golongan Ansar dan Muhajirin.Penekanan berkaitan dengan kerjasama dan bersatu padu antara masyarakat ini terdapat dalam Piagam Madinah.
       Selain daripada masyarakat Islam, piagam ini juga merangkumi  kedudukan kaum-kaum lain yang terdapat di Madinah seperti kaum Yahudi, Aus, Khazraj, Quraisy, Parsi dan Habsyi.Tuntutan terhadap hidup bersatu padu dan persaudaraan Islam dalam masyarakat Madinah dilaksanakan dengan mendidik masyarakat menjadi anggota masyarakat atau ummah yang kuat tanpa mengira kaum, keturunan dan tempat tinggal.Hai ini dapat mengelakkan perpecahan antara masyarakat Madinah.Jika berlaku perpecahan ini, musuh Islam boleh mengambil kesempatan untuk menawan Madinah
       Persaudaraan Islam dapat mewujudkan masyarakat Islam yang tulen berlandaskan akidah dan keimanan kepada Allah swt.Persaudaraan inilah yang akan mewujudkan kerjasama antara masyarakat serta cintakan kedamaian dalam kehidupan.
Penekanan terhadap musyawarah dalam pemerintahan.
Piagam Madinah mengamalkan prinsip musyawarah yang berlandaskan keadilan dalam pemerintahan. Semua kaum diberikan hak menyuarakan masalah kaum masing-masing.Penduduk Madinah juga diberi hak menyuarakan pandangan terhadap pemimpin. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan Pemerintah.
Mewujudkan Keadilan dan Persamaan Terhadap Masyarakat Madinah.
Untuk mengelakkan jurang perbezaan dan penindasan berlaku dalam masyarakat Madinah, Piagam Madinah telah menetapkan persamaan antara semua penduduk tanpa mengira keturunan,bangsa dan kedudukan seperti antara pemerintah dengan yang diperintah.Kekayaan dibahagikan sama rata antara masyarakat untuk mengelakkan penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin.
       Setiap masyarakat juga bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan berlandaskan ajaran Islam agar mereka sentiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Keadilan yang dilaksanakan berdasarkan syariat Islam ini memberi hak dan kebaikan kepada mereka. Hal ini juga dapat menghalang sebarang keburukan berlaku ke atas masyarakat tersebut.
       Piagam Madinah telah menetapkan masyarakat Madinah tidak boleh bersikap zalim seperti menindas golongan yang lemah. Mereka perlu memiliki sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
Kedudukan Kaum Yahudi
Masyarakat Yahudi diberi kebebasan untuk mengamalkan agama adat dan budaya mereka. Namun demikian, mereka tidak boleh memaksa penduduk Madinah untuk menganut agama mereka.Masyarakat Yahudi juga dilarang menindas kaum atau golongan yang lemah.
       Keselamatan kaum Yahudi dijamin melalui Piagam Madinah selagi mereka mematuhi piagam tersebut.
Kebebasan beragama
Piagam Madinah memberi kebebasan beragama terhadap kaum Yahudi dan penganut agama lain. Kebebasan ini diberikan kerana:
(a) Islam menghormati kebebasan beragama, iaitu tiada paksaan dalam kepercayaan setiap individu
(b) Menghindarkan permusuhan antara masyarakat
(c) Mengelakkan kaum Yahudi daripada menyebarkan agama mereka di Madinah
Pembinaan sebuah kerajaan Islam yang kuat
Untuk membentuk sebuah kerajaan Islam yang kuat, masyarakat Madinah bebas membincangkan hal politik dan pentadbiran.
       Piagam Madinah memberi kesedaran kepada masyarakat Madinah bahawa mereka merupakan masyarakat yang utuh dan bersatu padu. Piagam ini juga menyatakan bahawa kerajaan Madinah adalah hak milik mereka bersama.
       Oleh itu, masyarakat Madinah bertanggungjawab mempertahankan kerajaan ini daripada ancaman musuh.Hak dan tanggungjawab penduduk Madinah diakui dalam Piagam Madinah tanpa mengira agama mereka. Penduduk Madinah yang beragama Islam dan bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk memperoleh perlindungan, keselamatan dan keadilan.
Kebebasan Masyarakat Madinah
1 Penindasan ke atas golongan yang lemah seperti yang biasa dilakukan oleh kaum Yahudi adalah dilarang kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan hak asasi yang sama rata untuk
setiap penduduk.
2 Hal ini dapat menjamin keharmonian hidup masyarakat Madinah.
3 Kebebasan hak asasi ini meliputi kebebasan beragama, beramal,bekerja, bersuara dan sebagainya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana kebebasan yang tiada batas akan mewujudkan kezaliman yang boleh memecah-belahkan perpaduan ummah sesebuah kerajaan.
Menyatupadukan penduduk Madinah.
1 Masyarakat Madinah khususnya umat Islam dapat disatukan menerusi Piagam Madinah.
2 Piagam ini juga menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya.
Melalui Piagam Madinah ini dapat dirumuskan bahawa masyarakat Madinah yang dahulunya mengamalkan tradisi jahiliah seperti mementingkan diri sendiri dan kaum masing-masing telah berubah dengan menerapkan nilai-nilai persaudaraan Islam.[3]


[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),40. 
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,33.
[3] Ibid,35

No comments:

Post a Comment