Ad

Monday 5 January 2015

Mangsa toreh selamat diijab kabul



03 Januari 2015 12:58 AM
Nur Shafiqa Lah dan Mohd. Azijja Zafran Zahrani selamat diijab
Nur Shafiqa Lah dan Mohd. Azijja Zafran Zahrani selamat diijab

Nur Shafiqa Lah dan Mohd. Azijja Zafran Zahrani selamat diijab kabulkan di Kampung Seri Aman 3, Pasir Puteh, Kelantan,kelmarin. – utusan/Torek Sulong

PASIR PUTEH 2 Jan. – Nur Syafiqa Lah,22, mangsa toreh di Kampung Wakaf Berangan awal bulan lalu selamat diijab kabulkan dengan pasangannya, Mohd. Azijja Zafran Zahrani,24, dalam satu majlis ringkas di kediaman wanita itu semalam.

Pernikahan pasangan tersebut sekali gus merealisasikan janji tunangnya sebelum ini untuk me­langsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber terdekat keluarga Nur Shafiqa, perkahwinan itu membuktikan kesetiaan kedua-dua pasangan itu untuk ke jenjang pelamin sebagaimana yang direstui oleh kedua-dua belah keluarga.

“Majlis perkahwinan mereka diadakan secara ringkas dan sederhana yang dihadiri kedua-dua ahli keluarga terdekat. Difahamkan majlis resepsi pernikahan mereka akan berlangsung pada bulan Mac depan bersama majlis perkahwinan abangnya,” katanya.

Sumber berkenaan berkata, pernikahan itu telah disegerakan oleh keluarga mereka dengan harapan ia akan memulihkan kembali semangat Nur Shafiqa.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemu bual Nur Syafiqa tidak berhasil selepas tidak dibenarkan keluarganya yang memaklumkan anak gadis mereka itu memerlukan ketenangan dan tidak mahu diganggu sesiapa.

Dalam pada itu, berita mengenai perkahwinan mereka kini turut tersebar luas di laman sosial dan blog yang turut dipaparkan dengan beberapa keping gambar persandingan secara santai.

Akhbar ini awal bulan lalu pernah menyiarkan mengenai janji Mohd. Azijja yang akan terus setia bersama Nur Syafiqa walaupun gadis kesayangannya itu berkemungkinan mempunyai parut kekal pada wajahnya.

Malah Mohd. Azijja, juga tekad akan sentiasa bersama gadis yang dicintainya itu dalam menempuh apa jua keadaan sebelum melangsungkan perkahwinan.

Dalam kejadian awal bulan lalu, Nur Syafiqa menempuh pengalaman ngeri apabila mukanya ditumbuk dan ditoreh dengan sebilah pisau oleh salah seorang daripada dua penjenayah ketika cuba melawan suspek yang menceroboh rumahnya di Kampung Wakaf Berangan.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mangsa-toreh-selamat-diijab-kabul-1.43892#sthash.bir5cMGH.dpuf

No comments:

Post a Comment