Umat Islam lebih 10 negara
bersatu bantah provokasi hina Nabi Muhammad SAW
18 Januari 2015 2:00 AM
Sebahagian penunjuk perasaan
membakar bendera Perancis sebagai tindakan membantah penghinaan terhadap Nabi
Muhammad oleh Charlie Hebdo di Quetta, Pakistan, kelmarin. – AFP
ISLAMABAD 17 Jan. - Provokasi
akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan edisi khas
empat muka surat memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW minggu ini, mendapat
bantahan umat Islam di 10 buah negara semalam sehingga menyaksikan empat
kematian di Niger.
Selain Niger, ribuan penduduk
Islam di Pakistan, Senegal, Mauritinia, Jordan, Algeria, Palestin, Sudan,
Lebanon, Rusia dan Syria bangkit membantah penerbitan edisi itu yang jelas
menghina Islam.
Bantahan terburuk berlaku di
Niger selepas empat orang terbunuh, manakala 45 lagi cedera dalam tunjuk
perasaan di bandar Zinder yang bertukar ganas apabila penunjuk perasaan
menyerbu tiga buah gereja dan membakar pusat kebudayaan Perancis.
Seorang doktor di sebuah
hospital di Zinder berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan tiga yang cedera
mempunyai kesan tembakan pada badan mereka.
Dalam perkembangan sama di
Karachi, Pakistan, tiga orang cedera termasuk seorang jurugambar AFP, Asif
Hassan akibat terkena tembakan semasa satu pertempuran dengan polis di luar
Konsulat Perancis.
Demonstrasi turut berlaku di
bandar-bandar utama lain Pakistan antaranya di Lahore, Quetta, dan Peshawar.
Tunjuk perasaan sama turut
diadakan di Dakar, Senegal, dan Mauritania yang menyaksikan penunjuk perasaan
membakar bendera Perancis.
Selain itu, ribuan umat Islam
di Mali membanjiri jalan-jalan utama di Bamako sebagai menyambut seruan
pemimpin utama Islam negara itu dengan laungan slogan ‘Jangan usik nabi kami’
dan ‘Saya seorang Islam dan saya sayangkan nabi saya’.
Di Amman, Jordan, kira-kira
2,500 penunjuk perasaan berarak dari Masjid Al-Husseini diiringi kawalan ketat
pihak keselamatan sambil memegang sepanduk yang tertera mesej, ‘Menghina nabi
ialah satu keganasan global’.
Pertempuran juga dilaporkan
berlaku antara penunjuk perasaan dan polis antirusuhan di Algiers, Algeria
dengan kira-kira 3,000 penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Kami semua ialah
Muhammad’.
Qatar dan Bahrain pula memberi
amaran, karikatur baharu Nabi Muhammad SAW itu yang diterbitkan Rabu lalu oleh
majalah tersebut boleh menyemarakkan api kebencian.
Karikatur terbaharu terbitan
Charlie Hebdo itu memaparkan imej Nabi Muhammad SAW pada muka hadapan majalah
berkenaan yang memegang tanda Je Suis Charlie (Saya Charlie) di bawah tajuk All
is Forgiven (Semua dimaafkan).
Pihak penerbit majalah, MLP
berkata, sebanyak 1.9 juta salinan edisi tersebut telah terjual setakat ini
dengan keseluruhan lima juta salinan akan dicetak berbanding jualan kebiasaan
majalah itu sekitar 60,000 naskhah dalam masa seminggu. – AFP
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/i-charlie-hebdo-i-cetus-kemarahan-global-1.49121#sthash.22Eh49NS.dpuf
No comments:
Post a Comment