Ad

Saturday, 3 January 2015

‘Saya terus beraksi selagi bernafsu’

04 Januari 2015 12:08 AM
 Muhammad SHUKOR ADAN (tengah), Bojan Miladinovic (kiri) dan Indra
Muhammad SHUKOR ADAN (tengah), Bojan Miladinovic (kiri) dan Indra

Muhammad SHUKOR ADAN (tengah), Bojan Miladinovic (kiri) dan Indra Putra Mahayuddin memperagakan jersi baharu yang bakal digunakan oleh Felda United dalam saingan musim baharu Liga Malaysia 2015 di Institut Semarak Felda Bangi, kelmarin.
KUALA LUMPUR – “Saya tidak rasa usia akan menjejaskan prestasi dan saya akan teruskan perjua­ngan selagi masih bernafsu.”
Itu kata-kata penuh semangat ketua pasukan Felda United, Shukor Adan menjelang musim baharu Liga Malaysia yang akan dibuka bulan depan.
Menurut Shukor, dia tidak melihat usianya yang akan menjangkau 36 tahun pada 24 September ini sebagai penghalang untuk terus bermain.
Malah, tonggak pertahanan yang juga kapten Harimau Malaya ketika muncul naib juara Piala AFF, Disember lalu itu turut memasang impian besar untuk membantu The Fighters meraih sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.
“Apa yang penting sekarang ini adalah komitmen, tanggungjawab kepada pasukan dan kerjasama yang mana ia perlu ditingkatkan bagi merealisasikan misi ini,” katanya.
Dia ditemui dalam sidang akhbar selepas sesi memperkenalkan pemain dan jersi baharu Felda United di Institut Semarak Felda, Bangi, kelmarin.
Shukor berkata, misi untuk merangkul satu piala musim ini bukan perkara yang sukar dan pemain juga tidak melihat sasaran itu sebagai suatu tekanan.
“Bagi saya, ia bukan sesuatu yang sukar tetapi ia memerlukan kerjasama serta komitmen penuh daripada keseluruhan pemain.
“Jika dilihat, saingan musim ini lebih sukar dan kesemua pasukan mahukan kejayaan, jadi kami semua perlu mempamer aksi secara konsisten sepanjang musim 2015 ini.
“Saya lihat, sudah sampai masanya Felda United membuktikan bahawa mereka berada dalam kelasnya yang tersendiri musim ini,” katanya.
Sementara itu, Felda yang menampilkan aksi cemerlang musim lalu dengan menjadi naib juara Piala FA, selain berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, mensasarkan untuk layak ke sai­ngan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.
Bagi merealisasikan impian itu, The Fighters perlu memenangi sekurang-kurang satu kejuaraan sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia.
Pengerusi Felda yang juga Penaung Kelab Bola Sepak Felda United, Tan Sri Mohd. Isa Samad berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan itu sepanjang musim lalu.
“Sekiranya layak, Felda United bukan sahaja akan mewakili Felda malahan akan mewakili Malaysia .
“Ia secara tidak langsung juga akan membantu Felda untuk terus dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-saya-terus-beraksi-selagi-bernafsu-8217-1.44097#sthash.AJrAq1IN.dpuf

No comments:

Post a Comment