Ad

Wednesday, 7 January 2015

Rashid sedia beredar 
jika BAM tak perlukannya



07 Januari 2015 12:49 AM
 Rashid Sidek (kiri) berbual bersama Tey Seu Bock sewaktu rehat
Rashid Sidek (kiri) berbual bersama Tey Seu Bock sewaktu rehat sesi latihan skuad negara di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/Aizzul A. Majid

KUALA LUMPUR – “Kalau tidak terpilih, kita beredar sahaja.”

Itu reaksi ringkas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengenai keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Pengarah Teknikal baharu, Morten Frost Hansen bagi menentukan nasib masa depan jurulatih negara.

Rashid memberitahu, keba­nyakan jurulatih telah memberikan segala-galanya dalam usaha untuk meningkatkan prestasi skuad badminton negara selain berjaya memberikan keputusan yang sangat baik dalam beberapa kejohanan utama dunia.

“Kalau orang dah tak nak kita, buat apa tunggu dan mengharap lagi?

“Kalau boleh saya tidak mahu mengulas panjang tetapi saya hairan kenapa perkara ini perlu dilengah-lengahkan hingga kont­rak tamat? Sepatutnya perkara seperti ini diberitahu lebih awal,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Hampir semua jurulatih utama negara telah tamat kontrak termasuk Rashid, Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang, Jere­my Gan dan Wong Tat Meng.

Difahamkan, mereka hanya diberi lanjutan kontrak hingga Mac berdasarkan kepada emel yang dihantar pada hari yang sama kont­rak mereka tamat.

Kelmarin, Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku A­riff berkata, berdasarkan kontrak yang ditawarkan kepada Frost, dia diberi kebebasan untuk memilih barisan jurulatih yang dikehendaki­nya.

Pemilihan jurulatih nanti, bagaimanapun, perlu dibuat berdasarkan kepada laporan peni­lai­an komprehensif yang disediakan dengan kerjasama beberapa pihak iaitu Majlis Sukan Negara, (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), ahli majlis BAM dan Ketua Jawatan­kuasa Kejohanan.

Dalam pada itu, Tengku Mahaleel memberitahu, sekiranya terdapat jurulatih yang tiada dalam senarai perancangan Frost, mereka akan diberi lanjutan kont­rak tambahan selama tiga bulan sementara mereka mendapatkan pekerjaan di tempat lain.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan berkata, keputusan BAM untuk menunggu kehadiran Frost adalah langkah yang baik kerana dia percaya selepas ketibaan legenda badminton Denmark itu segala permasalahan yang berlaku pada waktu ini dapat diselesaikan segera.

Katanya, Frost akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan bagi menentukan hala tuju jurulatih dan para pemain untuk masa akan datang.

“Morten akan berbincang de­ngan BAM bagi menentukan apa yang perlu dilakukan dan paling penting mereka kena buat kepu­tusan segera.

“Saya rasa lanjutan kontrak tiga bulan, sekiranya tidak terpilih adalah munasabah, tetapi saya tidak fikir Morten akan buang mana-mana jurulatih kerana kita tidak memiliki banyak jurulatih,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/rashid-sedia-beredar-8232-jika-bam-tak-perlukannya-1.45259#sthash.7kr17ZDY.dpuf

No comments:

Post a Comment