Ad

Wednesday 14 January 2015

Gary silap langkah



Oleh Aziman Rosdiaziman@hmetro.com.my 
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menyifatkan pemain muda Gary Steven Robbat sudah tersilap langkah apabila menandatangani kontrak dengan dua pasukan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang musim ini.

Beliau berkata, pelanggaran kontrak satu kesalahan besar bagi mana-mana pemain dan kini mengharapkan hukuman yang adil bagi pemain berusia 22 tahun itu apabila kesnya dibicarakan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat ini.

“Kesilapannya adalah menandatangani kontrak dengan dua pasukan iaitu Pahang dan Johor DT. Ini tidak sepatutnya berlaku. PFAM sedia maklum mengenai perkara ini. Ini satu cabaran buat kami dalam memberi kesedaran kepada pemain mengenai perjanjian kontrak dan impak jika gagal mematuhinya.

“Memang Gary sendiri mengakui kesilapannya dan sedia tampil memberikan penjelasan bagi membetulkan keadaan. Apa yang diharapkan agar keputusan bakal diambil tidak terlalu berat hingga boleh mengancam kariernya dengan mengambil kira faktor usianya dan sumbangan kepada skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Gary mengakui bersedia menerima segala keputusan FAM mengenai dakwaan melanggar kontrak yang ditandatangani dengan Pahang November lalu sebelum menyertai Johor DT.

Tambah mengusutkan keadaan apabila Kedah mendakwa mereka lebih berhak ke atas Gary kerana mengikut peraturan FAM pemain Harimau Muda A yang tamat kontrak perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran masing-masing.

PFAM yang bakal bertindak sebagai wakil Gary pada perbicaraan itu menggesa semua pihak tampil dengan segala maklumat tepat bagi menyelesaikan kes itu.

“Kami tetap akan membantu pemain dalam apa juga keadaan, tapi itu tidak bermakna kami melindungi pemain yang melakukan kesilapan. Dalam kes Gary ini, kita harap ia boleh dijadikan teladan kepada semua pemain.

“Semua pihak perlu tampil memberikan maklumat kerana melalui penelitian kami tiada ketetapan dalam kontrak (Harimau Muda A) untuk mewajibkan pemain pulang ke pasukan negeri, tapi kita memerlukan kepastian mengenai perkara ini,” kata Izham yang berpendapat pemain berhak untuk menentukan hala tuju karier mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:33 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/23698#sthash.mMkoEqSR.dpuf

No comments:

Post a Comment