AFP
Sydney: Jepun tersingkir
daripada saingan Piala Asia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengejutkan
penyandang juara itu 5-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi suku akhir
mendebarkan.
Pemain gantian Ismail Ahmed
(gambar) menjaringkan gol kemenangan selepas bintang Jepun, Keisuke Honda dan
Shinji Kagawa gagal memanfaatkan sepakan mereka sekali gus membawa UAE ke
kelompok empat terbaik selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa
tambahan.
Pasukan negara Teluk itu yang
menikmati kempen terbaik kancah Piala Asia sejak muncul naib juara pada 1996,
akan berdepan tuan rumah Australia di separuh akhir selepas kemenangan ke atas
Samurai Biru itu.
UAE bermain cemerlang sejak
awal permainan dengan penyerang Ali Mabkhout meledak sepakan lambung padu
selepas tujuh minit untuk gol keempatnya pada kejohanan ini. Namun dia enggan
meraikan gol itu kerana menghormati Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz
yang meninggal dunia.
Ketika Jepun berada di ambang
kekalahan, pemain gantian Gaku Shibasaki menjaringkan gol penyamaan dari
pinggir kotak penalti pada minit ke-81 selepas menerima hantaran menarik Honda.
Pemain UAE yang memakai lilitan
lengan hitam sebagai menghormati pemergian pemimpin Arab Saudi itu,
mengecewakan Jepun menerusi hantaran menarik pada separuh masa dengan pemain
tengah Omar Abdulrahman menjadi perancang utama.
Sebaliknya, Jepun kelihatan
kepenatan dan kekeringan idea selepas jurulatih Javier Aguirre menurunkan
pemain sama untuk perlawanan keempat berturut-turut, hanya memasukkan pemain
gantian selepas masa rehat.
Pemain gantian Yoshinori Muto
melepaskan peluang keemasan apabila tandukannya dari jarak dekat tersasar
sebelum Kagawa memaksa penjaga gol UAE, Majed Naser menyelamatkan cubaannya.
Kapten Makoto Hasebe dan Honda
hampir menjaringkan gol ketika Jepun memberikan segala-galanya untuk
mendapatkan gol dengan Kagawa sekali lagi tersasar menerusi sepakan terakhir
sebelum pengadil meniup wisel penamat aksi sebenar perlawanan.
Jepun yang meraih gelaran
keempat Piala Asia pada 2011, hampir mencipta kemenangan tetapi sepakan percuma
Shibasaki tersasar. UAE terus bertahan untuk memaksa penentuan sepakan penalti,
sebelum Ismail menjadi wira mereka.
Sumber-Harian Metro24.1.2015
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu,
24 January 2015 @ 5:15 AM
No comments:
Post a Comment