Nurdiyana Abdullah melihat kaki
suaminya, Noorul Ariffin Abdul Majeed yang terkena tembakan di PPUM, Petaling
Jaya, semalam. – Utusan/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 1 Jan. - Tiga minggu
lalu, Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin
Abdul Majeed menerima surat ugutan bunuh yang memaksanya meletak jawatan dan
semalam ancaman itu menjadi kenyataan apabila beliau nyaris maut ditembak dua
lelaki yang tidak dikenali.
Noorul Ariffin bernasib baik
kerana tiga daripada empat das tembakan yang dilepaskan tersasar manakala satu
das lagi terkena kaki kanannya.
Menceritakan detik cemas itu,
Noorul Ariffin yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ) berkata,
dia baru sampai di hadapan rumahnya selepas solat Isyak di sebuah surau di
Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Saya tidak menyedari telah
ditembak dan hanya tahu apabila melihat dua suspek yang mencurigakan kerana
saya ingat bunyi tembakan itu letupan mercun.
“Saya juga tidak sedar bahawa
kaki terkena tembakan dan berusaha mengejar suspek yang kemudiannya melarikan
diri. Mungkin mereka ingat saya mengeluarkan pistol selepas kembali semula ke
dalam kereta, padahal saya hanya mengambil dompet,” katanya di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM), di sini hari ini.
Mengulas lanjut Noorul Ariffin
mengakui, dia pernah menerima satu surat layang berbaur ugutan yang memberi
amaran terhadap dirinya dan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim kira-kira tiga
minggu lalu.
“Isi kandungan surat itu
menuntut saya dan Karim meletak jawatan malah terdapat ugutan bunuh. Ketika
menerima surat terbabit, saya tidak membuat laporan polis kerana terlalu sibuk
dengan pelbagai urusan.
“Oleh demikian, saya mengesyaki
kejadian tembakan ini mempunyai kaitan dengan surat ugutan itu. Saya tahu
siapa suspek itu dan telah bekerjasama dengan polis,” katanya yang percaya, kes
itu berkait dengan jawatan yang dipegangnya sekarang.
Tambah Noorul Ariffin, jika
tembakan itu mempunyai kaitan dengan jawatannya dan menghadapi risiko
kehilangan, dia tidak akan tunduk atau berundur sebaliknya akan terus berjuang
dalam persatuan terbabit.
Isteri mangsa, Datin Nurdiyana
Abdullah, 49, berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian itu namun
bersyukur suaminya selamat dan masih hidup.
“Saya cuma ralat apabila dua
hospital yang mula-mula kami datang untuk mendapatkan rawatan kecemasan tidak
membantu langsung, seolah-olah suami saya hanya cedera ringan.
“Alasan mahu polis datang
membuat siasatan dahulu. Tidakkah mereka mempunyai perasaan terhadap situasi
cemas ini dan bersikap lebih rasional,” katanya yang tekad membawa suaminya ke
PPUM pada pukul 3 pagi.
Sementara itu, siasatan polis
di tempat kejadian difahamkan menemui, empat kelongsong peluru dan 2 kesan
tembakan pada kereta mangsa.
Ketua Polis Sungai Buloh,
Supritendan Junaidi Bujang mengesahkan kejadian dan memberitahu, siasatan rapi
sedang dijalankan.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/naib-presiden-kom-nyaris-maut-ditembak-dua-lelaki-1.43606#sthash.pbg6APnX.dpuf
No comments:
Post a Comment