17 Januari 2015 2:26 AM
Chantal Viola membuat roti
canai untuk dihidangkan kepada pelanggan di Warung Teknik, Alor Setar, Kedah,
baru-baru ini. – UTUSAN/SHARUM SHAMSUDIN
Advertisement
ALOR SETAR 16 Jan. – Seorang
gadis yang berasal dari Rom, Itali tidak menyangka gambarnya yang sedang
membuat roti canai di sebuah gerai di Lorong Sekolah Menengah (SM) Teknik Alor
Setar, Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini menjadi ‘viral’ di laman sosial
sejak seminggu lalu.
Chantal Viola, 17, berkata,
gambar itu yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook diambil bagi
memaparkan aktiviti dirinya sepanjang terlibat dalam program pertukaran pelajar
kendalian Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia sejak Julai tahun lalu.
Katanya, program itu
berlangsung selama setahun dan sepanjang tempoh tersebut, dia bersekolah di
SM Teknik Alor Setar dan menetap bersama keluarga angkat, Ishak Md. Shah, 59,
dan Sirosadah Ismail, 57, di Lorong Teknik dekat sini.
“Kebetulan, jiran kami peniaga
roti canai, jadi saya mengambil kesempatan untuk membantu di gerainya pada
setiap Jumaat, Sabtu dan cuti umum kerana ingin mengenali penduduk setempat dan
belajar bahasa Melayu.
“Tidak sangka gambar saya
membuat roti canai itu menjadi ‘viral’,'' katanya ketika ditemui di gerai roti
canai tersebut.
Menurut Viola, dia mahu mempelajari
teknik membuat roti canai daripada jirannya, Md. Sallehuddin Shaari, 46,
sebelum menamatkan program itu pada Julai 2015, memandangkan makanan itu
antara yang popular di negara ini.
“Proses untuk membuat roti
canai agak rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi, saya pernah membuatnya
beberapa kali, namun tidak menjadi.
“Bagaimanapun, saya tetap
bangga kerana sejak menjadi pembantu di gerai ini sekitar Ogos tahun lalu,
saya sudah pandai mengambil dan menghantar pesanan pelanggan di samping mahir
membuat beberapa jenis minuman seperti teh tarik,” ujarnya.
Sementara itu, Md. Sallehuddin
berkata, kehadiran Viola menyebabkan gerainya semakin menjadi tumpuan ramai.
Katanya, sejak kisah gadis itu
tersebar di laman sosial, ada antara pelanggannya datang dari jauh termasuk
Kulim semata-mata mahu memastikan kesahihan berita tersebut.
“Kehadirannya sememangnya
disenangi pekerja-pekerja lain dan pelanggan di sini kerana dia seorang yang
rajin dan cepat belajar.
“Lagipun, dia dan anak sulung
saya, Nur Sahira agak rapat dan belajar di sekolah yang sama, secara tidak
langsung menyebabkan dia selesa berada di gerai ini,” ujarnya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gadis-itali-terkejut-gambarnya-8216-viral-8217-di-facebook-1.48789#sthash.pKNGEUs9.dpuf
No comments:
Post a Comment