Ad

Monday, 26 January 2015

Amukan juara Malaysia

 Daripada MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
 
SKUAD hoki negara meraikan kejayaan menewaskan Poland 8-0 untuk merangkul kejuaraan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Sengkang, Singapura semalam.
Advertisement

SENGKANG, Singapura – Malaysia membuktikan watak sebenar sang juara apabila mem­belasah Poland 8-0 pada aksi final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Sengkang semalam.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan skuad hoki negara akhirnya buat pertama kali berjaya menjuarai kejohanan anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Dalam aksi berat sebelah itu, skuad hoki negara bermula garang apabila membuka tirai ja­ringan melalui gol pukulan sudut penalti daripada penyerang berbisa, Faizal Saari pada minit ketiga.

Berselang empat minit kemudian, giliran kapten pasukan, Muhammad Razie Abd. Rahim menggandakan kedudukan buat Malaysia melalui pukulan sudut penalti.

Derita Poland semakin bertambah apabila Razie meledak gol kedua peribadi menjadikan kedudukan 3-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

Poland yang menduduki ran­king ke-18 dunia seperti tidak bermaya pada separuh masa pertama apabila hanya mampu melakukan dua serangan ke arah gawang gol Malaysia.

Bersambung suku masa ketiga, selepas beberapa kali satu lawan satu, kali ini Faizal tidak mensia-siakan peluang apabila menyudahkan gol keempat Malaysia pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Jerzy Joskowiak cuba bangkit de­ngan memenangi tiga pukulan sudut penalti, namun kesemuanya gagal disudahkan de­ngan baik.

Pemain pertahanan negara, Nabil Fiqri Mohd. Noor kemudiannya mengambil kesempatan kekalutan di depan gawang Poland dengan jaringan kelima Malaysia pada minit ke-42 sekali gus ‘membunuh’ sisa-sisa perjuangan pasukan lawan.

Amukan anak-anak buah Tai Beng Hai tenyata tidak terhenti di situ apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pula menjaringkan gol keenam Malaysia menerusi gerakan solo menarik pada minit ke-48.

Tidak lama kemudian, giliran Muhamad Haziq Samsul pula meledak gol ketujuh (minit ke-55) sebelum Razie melengkapkan hatriknya menjadikan kedudukan 8-0 bagi menamatkan malam pesta Malaysia pada minit ke-60.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Jepun selepas menewaskan Oman 4-0 sekali gus menempah tiket mengi­ringi Malaysia dan Poland ke separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium atau Argentina pada Jun depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3Pvy9nVse Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment