Oleh Mohd Hasbi Sidekhmetroshahalam@hmetro.com.my
Klang: Demi mencari sesuap nasi
untuk ibu, abang serta tiga lagi saudara angkatnya, seorang remaja lelaki
menggagahkan diri berjalan 10 kilometer di sekitar Pelabuhan Klang untuk
meminta sedekah daripada orang ramai.
Muhammad Firdaus Abd Aziz, 16,
terpaksa menjadi ketua keluarga apabila ibunya sudah tidak mampu bekerja kerana
mengalami masalah kesihatan serius seperti asma, darah tinggi, kencing manis
selain tisu di bahagian peha koyak.
Lebih memilukan, abang
sulungnya, Muhammad Tarmizi Abd Aziz, 17, yang sebelum ini menjadi tempat
bergantung kepada keluarga itu kini tidak mampu meneruskan pekerjaan sebagai
tukang kimpal selepas terbabit dalam kemalangan motosikal Oktober tahun lalu.
Dengan hasil ihsan orang ramai,
RM60 sehari itu digunakan remaja terbabit untuk membeli keperluan harian selain
membayar sewa rumah RM350 sebulan.
Ketika Harian Metro mula
menjejak kaki memasuki rumah remaja malang berkenaan, hati penulis begitu
tersentuh dengan kedaifan kehidupan keluarga itu yang hidup serba kekurangan.
Hanya terdapat satu tilam di
rumah yang digunakan untuk Muhammad Tarmizi yang patah kaki manakala ibu serta
seorang lagi adik perempuannya tidur di atas lantai beralaskan pakaian untuk
dijadikan bantal.
“Saya tiada pilihan melainkan
meminta sedekah daripada orang ramai malah ada sesetengah individu yang
menghalau serta mengherdiknya supaya mencari pekerjaan kerana mempunyai tubuh
badan yang sihat.
“Saya bukan tidak mahu mencari
pekerjaan kerana hanya menerima pendidikan hingga darjah enam sahaja. Saya
masih di bawah umur dan majikan tidak berani menaggung risiko sekiranya
menggajikan remaja bawah umur. Ini menyukarkan saya menerima pendapatan tetap,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Milenium Sentosa, di sini, semalam.
Katanya, duit yang diterima
daripada orang ramai digunakan dengan cermat untuk membeli makanan dan
keperluan asas yang lain untuk keluarganya.
Dia berkata, Lembaga Zakat
Selangor (LZS) ada memberikan bantuan keperluan harian seperti beras setiap
tiga bulan dan membayarkan sewa rumah untuk tempoh enam bulan.
Namun, bermula tahun ini,
bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebelum ini sudah
dihentikan dan ibunya diminta hadir ke pejabat jabatan itu untuk urusan
penyambungan semula bantuan.
“Sebelum ini, kami terima
bantuan daripada JKM, tapi tahun ini dihentikan dan mereka meminta ibu pergi ke
pejabat untuk tujuan penyambungan semula bantuan.
“Kami tidak mempunyai kenderaan
dan wang untuk pergi ke pejabat berkenaan. Saya berharap bantuan dari JKM dapat
disambung semula untuk meringankan beban kami sekeluarga.Sementara itu, ibunya,
Hashimah Idris, 48, berkata, sejak suaminya meninggal tahun 1999, kehidupan
keluarga tidak menentu tambahan pula keadaan kesihatannya yang bertambah teruk.
“Saya ada asma, darah tinggi,
kencing manis dan doktor mengesahkan tisu di bahagian peha koyak dan memerlukan
kos rawatan yang tinggi untuk pulih.“Saya malu kerana menjadi beban kepada
anak-anak dan terpaksa meminta sedekah sehingga lewat malam demi menyara kami
sekeluarga,” katanya sebak.Menurutnya, ada satu ketika dia mahu meninggalkan
anak kerana terlalu tertekan dan putus asa memikirkan kesusahan ditanggung anak
demi menjaganya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 14 January 2015 @ 8:28 AM
HASHIMAH (kanan) bersama
anaknya berehat di ruang tamu rumah.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/23743#sthash.lSas2tlk.dpuf
No comments:
Post a Comment