Ad

Tuesday 6 January 2015

Mana boleh paksa pemain



Gary berhak memilih pasukan yang ingin diwakili
NURUL HUDA HASSAN  |  06 Januari 2015 12:40 AM

Tunku ISMAIL SULTAN IBRAHIM percaya pemain berhak menentukan pasukan mana yang mahu diwakili.
JOHOR BAHRU - “Saya tidak faham macam mana ada persatuan dalam negara yang masih ada fikiran memaksa pemain.”

Itu kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai status pemain tengah Harimau Malaya, Gary Steven Robbat yang kini menjadi rebutan tiga pasukan.

Menurut Tunku Mahkota Johor, pemain berusia 23 tahun itu berhak menentukan pasukan mana yang menjadi pilihannya untuk beraksi dalam musim baharu Liga Malaysia.

Katanya, biarpun PBNJ me­nunggu keputusan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun pada akhirnya pemain itu sendiri sepatutnya dibenarkan memilih pasukan mana dia mahu berkhidmat.

Tambahnya, jika Gary tidak mahu beraksi bersama Pahang atau Kedah dan mahu beraksi dengan Johor, itu hak dia.

“Mana boleh paksa pemain... Bebaslah, hak pemain. Jadi itu (status Gary) atas jawatankuasa FAM.

“Sama ada hendak keluarkan denda oleh kerana dia tandatangan dua kontrak, tetapi macam mana pun....keputusan tetap pergi kepada pemain di mana dia mahu berada,” katanya kepada pemberita di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini.

Dalam pada itu, ditanya bila FAM akan membuat keputusan mengenai status Gary, Tunku Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada badan induk bola sepak negara itu untuk memberi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul.

“Jadi kita tunggu bila pemain itu kena 'report' dan saya akan hantar pemain tersebut ke Wisma FAM,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail memberitahu, PBNJ sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai hasrat PBNJ untuk memiliki Gary dan ia terpulang kepada persatuan negeri itu untuk menolak atau terima.

“Sudah, itu atas Kedah hendak tolak atau tidak, tetapi apa yang pasti kalau apa-apa pun kita kena bayar pampasan kepada KFA.

“Bagaimanapun terpulang kepada mereka sama ada (mahu) melepaskan Gary atau tidak.

“Tetapi macam mana saya katakan tadi, pada akhirnya semua terpulang kepada di mana pemain tersebut mahu berkhidmat,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-mana-boleh-paksa-pemain-8217-1.44966#sthash.rFtG1bFf.dpuf

No comments:

Post a Comment