Ad

Friday 2 January 2015

Tembakan mahu bunuh saya – Noorul Ariffin



 
Oleh JALALUDDIN BAHARIN
jalaluddin.baharin@kosmo.com.my

NOORUL ARIFFIN yang cedera di kaki kanan akibat ditembak dijangka dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya dalam tempoh beberapa hari lagi.

IA bukan babak ganas seperti filem ‘KL gangster’ tetapi inilah realiti yang berlaku kepada Naib Presiden Ke­satuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang cedera selepas ditembak di hadapan kediamannya, Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh Rabu lalu.

Mengimbas detik cemas itu, Noorul Ariffin yang ditembak pada kaki dalam insiden tersebut, pada mulanya mengakui beliau tidak panik ekoran sangkaan awalnya adalah bunyi letupan itu datangnya daripada mercun sempena sambutan tahun baharu.

Sebaliknya, sangkaan Noorul Ariffin meleset apabila beliau hampir kehilangan nyawa apabila dua suspek bermotorsikal berwarna merah telah melepaskan empat das tembakan setelah menunggu kepulangannya dalam anggaran 10 meter di hadapan ke­diamannya kira-kira pukul 10 malam.

Lebih mengejutkan lagi, beliau difahamkan oleh polis bahawa tembakan pertama dan kedua yang dilepaskan itu memang bertujuan membunuh kerana ia disasarkan pada posisi paras dada.

“Dua tembakan yang saya sangkakan bunyi letupan mercun itu telah mengenai dashboard dan kotak gear kereta saya. Saya yakin tembakan ini bukan lagi amaran sebaliknya untuk membunuh saya.

“Apabila saya keluar dari kereta tembakan ketiga dan keempat dilepaskan yang mana salah satu daripadanya telah terkena kaki saya. Dari situ saya sudah sedar bahawa saya telah ditembak,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan ­Noorul Ariffin cedera ditembak dan insiden itu dipercayai mempunyai kaitan dengan surat layang yang diterimanya tiga minggu lalu.

Difahamkan surat layang itu telah dikirimkan ke alamat pejabatnya di Stadium Nasional Bukit Jalil atas nama Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim dan dirinya yang mengandungi unsur ugutan termasuk mengarahkan beliau tidak mengungkit kisah lama yang berlaku di Johor atau berdepan tindakan dibunuh.

Mengulas lanjut, bekas atlet olahraga era 80-an itu turut mengakui tidak menyangka surat layang yang dianggap ugutan biasa telah berlarutan sehingga ke tahap yang lebih serius.

Bagaimanapun, Noorul Ariffin yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ) tetap bertegas tidak akan berundur daripada jawatan yang dipegang selagi mana khidmatnya itu masih diperlukan dalam kalangan ahli-ahli persatuannya.

“Sudah tentu saya tidak akan lepaskan jawatan saya (Naib Presiden KOM). Bagi jawatan Presiden POAJ, saya serahkan kepada ahli untuk menilai kerana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya telah pun dihantar. Selama saya mentadbir, saya banyak buat ­perubahan positif dan jika mereka mahu memberi satu lagi tempoh untuk saya jaga, ya saya akan jaga. Saya tidak akan takut dengan perkara ini (tembakan) kerana perjuangan yang saya mulakan perlu diteruskan.

“Bagi sesiapa yang tidak berpuas hati dengan saya, mereka ini boleh menunggu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan datang untuk me­lakukan strategi yang boleh menarik minat ahli-ahli untuk mengundi mereka agar dapat mengambil alih jawatan saya atau jawatan-jawatan lain.

“Perkara ini adalah terbuka dan tidak ada sesiapa yang yang akan menghalang mereka daripada berbuat demikian,” jelasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3NiEctcPuHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment