Ad

Tuesday, 27 January 2015

Piala Asia 2015: Terlalu awal buat Korea Selatan bincang julang trofi


 
SYDNEY: Penyerang Korea Selatan, Son Heung-Min memberi amaran kepada rakan sepasukan serta peminat supaya terus berada di alam nyata selepas kemaraan pasukan itu ke final Piala Asia buat pertama kali dalam tempoh 27 tahun.

Korea menampilkan persembahan cukup bertenaga di separuh akhir ketika menewaskan Iraq 2-0, semalam dan hanya setapak untuk mengulangi kejayaan 1960 namun tekanan pasti lebih berat di pentas final.

Dengan tuan rumah, Australia yang akan mengharungi perlawanan separuh akhir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini dianggap sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan, Heung-Min sedar laluan yang menanti mereka cukup sukar sekalipun pernah menewaskan lawan sama di peringkat kumpulan.

"Ia jauh terlalu awal untuk kami bercakap mengenai memenangi kejuaraan," kata pemain kelab Jerman, Bayer Leverkusen itu. "Setiap perlawanan berbeza, hanya itu yang boleh kamu katakan.


"Kami masih perlu mengharungi perlawanan besar di final jadi kami tidak mampu untuk bercakap mengenai menjulang triofi."

Kali terakhir Korea mara ke final Piala Asia ialah 1988 sebelum tewas kepada Arab Saudi.

Sepanjang lima perlawanan ke pentas final, Korea tidak melepaskan sebarang gol namun jurulatihnya, Uli Stielike yang juga bekas pemain pertahanan mengakui kelebihan itu mampu menghantui pemainnya di pentas final.

"Situasi boleh menjadi amat bahaya," kata bekas pemain Real Madrid itu.

"Apa yang berlaku apabila kamu melepaskan gol dan bagaimana reaksi kamu adalah amat penting. Kamu perlu bersedia untuk itu dan mempunyai reaksi." - AFP

AKSI penyerang Korea Selatan, Son Heung Min (kanan) ketika perlawanan separuh akhir Piala Asia 2015 menentang Iraq, semalam. - Foto AFP
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE SELASA 27.1.2015



No comments:

Post a Comment