20 Januari 2015 1:09 AM
Penyerang Arsenal, Olivier
Giroud berlari ke arah penonton untuk meraikan jaringannya dalam perlawanan
menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester semalam. Arsenal menang
2-0. – AFP
LONDON - Pengurus Arsenal,
Arsene Wenger berkata, pasukannya sudah semakin kukuh pada musim ini terutama
selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas penyandang juara Liga Perdana Inggeris,
Manchester City semalam.
Jaringan penalti Santi Cazorla
pada minit ke-24 dan tandukan Oliver Giroud minit ke-67 membolehkan Gunners
mencatat kemenangan pertamanya di gelanggang City sejak Mei 2002.
Kemenangan Arsenal itu membolehkan
kelab tersebut berada di anak tangga kelima dengan 39 mata, 13 mata di belakang
pendahulu Chelsea.
Malah Arsenal hanya berada satu
mata di belakang City yang menghuni tempat kelima, sekali gus berpeluang untuk
merebut kelompok empat terbaik andai mahu beraksi dalam saingan Liga
Juara-juara musim depan.
“Masa akan menentukannya dan
kemenangan ini sudah tentu meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan pemain.
“Lima bulan yang bakal kami
tempuh selepas ini adalah amat penting buat pasukan. Apa yang anda lakukan akan
menentukan apa keputusan anda.
“Perlawanan seperti menentang
City akan membantu anda dengan baik,” kata Wenger ketika ditanya adakah kemenangan
tersebut membuktikan sesuatu buat pasukannya.
Dalam perlawanan itu, Cazorla
beraksi dengan amat baik dan mendapat pujian Wenger serta rakan sepasukan Aaron
Ramsey yang menganggap pemain itu seperti berada di kelas tersendiri.
“Sejak Cazorla bermain di
bahagian tengah, ruang buat pemain itu beraksi menjadi lebih luas dan saya
berpendapat dia kini sudah berada di tahap yang mampu mempengaruhi kariernya.
“Dia adalah pemain yang amat
menakjubkan kerana dapat mengatasi tekanan dengan baik ketika berada di atas
padang.
“Dia juga adalah contoh yang
baik buat pemain muda. Dia telah menunjukkan betapa pentingnya berada di
bahagian tengah dan saya berpendapat dia adalah pemain tengah yang
berkualiti,” kata Wenger. – AFP
No comments:
Post a Comment