Kuala Lumpur: Dengan masa
kurang tiga bulan sebelum kelayakan AFC Bawah 23 tahun (B-23) Mac ini,
jurulatih skuad B-22 negara Razip Ismail (gambar) masih belum mengetahui sejauh
mana kemampuan anak buahnya untuk menggalas misi layak ke pusingan akhir di Qatar
tahun depan.
Jelasnya dengan kesuntukan masa
untuk mengumpul pemain bagi sesi latihan, beliau turut mengharapkan lebih
banyak perlawanan persahabatan untuk menguji kekuatan pemain sebelum pusingan
kelayakan di Stadium Shah Alam nanti.
Perlawanan dengan kelab Iran
Zob Ahan FC di Stadium Selayang Jumaat lalu yang menyaksikan kekalahan 0-5
adalah satu-satunya aksi anak buahnya tahun ini dan mereka memerlukan lawan
setara.
Razip berkata, Kejohanan Piala
Emas Bangabandhu di Bangladesh pada 28 Januari hingga 7 Februari depan dilihat
medan terbaik untuk beliau mengukur sejauh mana harapan yang boleh disandarkan
kepada pemain yang sedia ada dalam pasukannya.
“Terlalu awal untuk menyatakan
sama ada pasukan ini sudah sedia atau pun tidak kerana mereka masih belum
diuji. Dalam tempoh ini saya mahu membentuk persefahaman pemain namun saya
mengingatkan kepada pemain bahawa dalam setiap perlawanan kami mahu menang.
“Saya mahu menerapkan mentaliti
menang dalam diri setiap pemain. Bagi saya penyertaan kami ke kejohanan di
Bangladesh nanti boleh dijadikan ujian sebenar buat pemain. Kerana kejohanan
itu dianggap pemanas badan kepada pasukan yang bertanding di pusingan kelayakan
AFC di mana skuad B-23 Thailand, Bahrain, Singapura, Sri Lanka dan pasukan tuan
rumah,” katanya kepada Arena Metro.
Misi cukup besar kini dipikul
Razip dan anak buahnya pada kelayakan AFC B-23 apabila mereka diundi dalam
Kumpulan I bersama pasukan pilihan Jepun, Vietnam dan Macau. Hanya juara
daripada 10 kumpulan dan lima pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan
akhir.
“Sasaran kami untuk layak.
Walaupun terpaksa berdepan pasukan kuat seperti Jepun tapi itu tidak bermakna
peluang kami sudah tertutup,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 12 January 2015 @ 7:12 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/23253#sthash.FJdeB9nf.dpuf
No comments:
Post a Comment