ARKIB : 01/05/1998
Semua kementerian akan
dilengkapi kemudahan IT
ABDUL Halim Ali menunjukkan
buku bertajuk 'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Malaysia' pada
majlis pelancaran buku itu di INTAN di Bukit Kiara, semalam.
KUALA LUMPUR 30 April - Semua
kementerian dan jabatan kerajaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan Teknologi
Maklumat (IT) tidak lama lagi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul
Halim Ali hari ini.
Beliau berkata, usaha itu
adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menjadikan negara sebagai
kerajaan elektronik yang serba canggih.
''Sebagai permulaan Jabatan
Perdana Menteri akan menjadi peneraju dan seterusnya menjadi 'pengarah' kepada
jabatan atau kementerian lain bagi memudahkan penyeragaman pelaksanaan.
''Sebelum itu, latihan
menyeluruh teknologi IT akan diberikan kepada semua pegawai kerajaan dan surat
pemberitahuan mengenainya telahpun diedarkan termasuk bagi membentuk satu
Jawatankuasa Khas IT dan Internet Kerajaan (JITIK) di semua jabatan dan
kementerian,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian
kepada pemberita selepas melancarkan Buku Perkhidmatan Awam Malaysia bertajuk
'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Maklumat' di sini.
Halim berkata, bagi memastikan
rancangan itu berjalan lancar, peruntukkan sebanyak RM150 juta telah
dikeluarkan pada tahun ini.
Beliau menyeru agar semua ketua
jabatan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap rancangan berkenaan untuk
memastikan kakitangan mereka memperolehi pengetahuan sewajarnya.
Tambahnya, beberapa syarikat IT
dalam dan luar negara beserta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MSC) telah
memberikan komitmen mereka untuk membantu kerajaan mencapai tujuan tersebut.
''Mereka berjanji akan
berkongsi kepakaran dengan pegawai-pegawai kerajaan serta syarikat swasta
tempatan terutama memendekkan masa perkhidmatan di semua jabatan kerajaan,''
katanya.
Sementara itu beliau berkata
kerajaan sedang memikirkan cara untuk mengatasi masalah berhubung kewujudan
unsur negatif seperti pornografi dalam Internet.
Beliau berkata, adalah penting
difikirkan langkah-langkah yang dapat menyekat anak-anak daripada mengakses
bahan-bahan seperti itu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz3PS6bytdw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment