Oleh Mohamad Azim Fitri Abd
Azizazimfitri@mediaprima.com.my
Sungai Buloh: “Saya tidak pasti
cubaan bunuh ini ada kaitan dengan surat ugutan yang dihantar ke pejabat saya
tiga minggu lalu,” ujar Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk
Noorul Ariffin Abdul Majeed yang ditembak satu das di kaki kanannya, malam
kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10
malam itu, mangsa dikatakan baru pulang dari menghadiri majlis di sebuah masjid
sebelum meletakkan kereta di pekarangan rumahnya di Bukit Rahman Putra, di
sini.
Dua lelaki bermotosikal
tiba-tiba muncul sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa
sebelum melarikan diri.
Noorul Ariffin berkata, dia
menerima surat berbaur ugutan yang dihantar ke pejabat KOM mendesak dia
melepaskan jawatan di dalam KOM.
“Saya menganggap surat ugutan
diterima itu tidak serius. Malah saya mengabaikannya serta tidak membuat
laporan polis.
“Surat ugutan itu juga mendesak
Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim turut meletak jawatan. Saya tidak menolak
kemungkinan ia ada kaitan (surat ugutan) namun biarlah polis menjalankan
siasatan,” katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), semalam.
Beliau ketika itu selesai
menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari kaki kanannya.
Menceritakan pula detik
kejadian, mangsa mendakwa mulanya menyangka bunyi tembakan itu adalah bunyi
mercun.
“Namun saya menyedari diserang
dua lelaki itu sebelum cuba masuk semula ke dalam kereta. Salah seorang pegawai
polis memberitahu saya bernasib baik berikutan suspek melepaskan empat tembakan
berdasarkan penemuan empat kelongsong peluru,” katanya.
Noorul Ariffin yang juga
Presiden Persatuan Olahraga Amatur Johor berkata, beliau sempat menjerit kepada
isteri dan anak-anaknya sebelum suspek melarikan diri.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 2 January 2015 @ 8:50 AM
SUMBER-MY METRO ONLINE 2.1.2014
No comments:
Post a Comment