Ad

Friday, 16 January 2015

Sabung nyawa ambil tin biskut hanyut



17 Januari 2015 1:42 AM
 
KECOH ketika bah kuning melanda apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu yang menyatakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan roboh sehingga banyak nyawa penduduk yang berlindung di sekolah itu meninggal dunia.

Ternyata maklumat palsu itu mencetuskan kebimbangan keluarga mangsa banjir yang berlindung di situ sehinggakan pihak berkuasa terpaksa masuk campur dengan memberitahu bahawa kejadian itu tidak benar.

Wartawan S2 meninjau lokasi terbabit dan ternyata maklumat tersebut tidak benar. Sekolah masih teguh berdiri. Namun, tidak dinafikan sekolah itu mengalami kerosakan harta benda yang teruk apabila selut memenuhi lantai sehingga tingkat dua. Kerusi dan meja hanyut dan tersangkut di dinding kelas. Sekampit beras tersadai di anak tangga menuju ke tingkat dua bangunan sekolah tersebut.

Lantai surau milik asrama pelajar dihanyutkan sehingga ke pintu masuk sekolah dan tersangkut di sebuah bangunan satu tingkat. Beberapa perdu pokok pisang dibawa arus sehingga tersadai di pondok menunggu bas di hadapan sekolah.

Penyelaras banjir yang juga guru di SMK Manek Urai, Nor Aini Mat Nor, 48, berkata, penduduk mula dipindahkan ke sekolah itu pada 23 Disember 2014 dan jumlah yang dipindahkan adalah 117 orang.

Menurutnya, persiapan menerima mangsa-mangsa banjir di sekolah itu dibuat sehari sebelum tarikh tersebut dan bantuan bekalan makanan pertama yang tiba di sekolah adalah pada 24 Disember.

“Bantuan bekalan makanan diterima daripada tentera dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jadi, tiada kes mangsa banjir mengalami kebuluran sebab tak dapat makan. Tapi memang ada yang lapar. Sementara menunggu bantuan makanan tiba, kami terpaksa catu makanan yang ada,” katanya.

Mengenai bekalan air bersih, katanya, mereka terpaksa memasak air banjir yang berwarna kuning pekat itu kerana tiada pilihan lain.

“Terpaksa...dah tak ada pilihan. Masak air selut untuk minum,” ujarnya yang menganggap banjir tahun lalu adalah banjir terburuk yang pernah dialaminya.

Mengenai bekalan elektrik yang terputus, katanya, mereka memotong lilin yang sempat dibawa beberapa mangsa banjir ke sekolah itu untuk membuat pelita.

“Sebatang lilin dikerat tiga atau empat. Kami ambil sumbu lilin itu dan letakkannya di dalam bekas berisi minyak masak. Masuk hari ketiga, bekalan lilin hampir habis dan terpaksalah kami mencatunya,” katanya.

Ditanya apakah peristiwa yang tidak akan dilupakannya dalam mengurus pusat banjir tersebut, Nor Aini berkata, peristiwa seorang ayah sanggup terjun ke dalam arus deras untuk mengambil tin biskut yang hanyut untuk diberikan kepada kanak-kanak di pusat pemindahan itu sukar untuk dilupakannya.

Ketika itu, katanya, arus terlalu deras tetapi lelaki tersebut menyabung nyawa untuk mengambil tin biskut tersebut.

“Itu satu perkara, ada lagi peristiwa yang cukup sayu. Helikopter campak tin biskut dari udara kerana tidak boleh mendarat. Bila campak, biskut pecah berderai. Semasa agihan biskut, kanak-kanak terpaksa tadah tangan untuk ambil biskut yang dah jadi serbuk. Sayu hati tengok situasi itu. Orang dewasa boleh tahan lapar, tetapi kanak-kanak...,?,” katanya.

Di sebalik semua musibah itu, beliau reda dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku di pusat pemindahan yang diuruskannya.

“Sekarang ini, bantuan pasca banjir amat diperlukan seperti dapur, gas, khemah, tilam dan bantal. Khemah akan didirikan di tapak rumah mangsa banjir yang musnah dan bolehlah mereka membersihkan rumah sedikit demi sedikit,” katanya lagi.

Mereka yang ingin memberikan sumbangan bolehlah menghubungi Nor Aini di talian 012-9897754.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/sabung-nyawa-ambil-tin-biskut-hanyut-1.48725#sthash.S1SxGGjL.dpuf

No comments:

Post a Comment