Canberra: Emiriah Arab Bersatu
(UAE) bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan pencabar Teluk, Qatar
4-1 ketika mempamerkan keupayaan untuk memenangi Piala Asia dengan kemenangan
bergaya, semalam.
Pemain tengah ternama Omar
Abdulrahman bertindak cemerlang membantu Ahmed Khalil dan Ali Mabkhout
masing-masing menyumbat dua gol selepas Khalfan Ibrahim yang digelar ‘Maradona
Qatar’ meletakkan pasukannya di depan.
Sepakan voli Khalfan ternyata
satu-satunya saat terbaik Qatar ketika tuan rumah Piala Dunia 2022 itu nyata
rapuh di benteng pertahanan dengan penjaga gol Qasem Burhan melakukan dua
kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Saya pasti mereka boleh
bermain dengan baik tapi dalam bola sepak anda tidak dapat menjamin keputusan
yang diidamkan dan saya amat gembira dengan persembahan hari ini,” kata
jurulatih UAE, Mahdi Ali.
Khalfan membuka tirai jaringan
pada minit ke-22 apabila dia mendada bola sebelum melakukan sepakan akrobatik
untuk mengatasi penjaga gol Majed Naser.
Namun Ahmed berjaya menyamakan
kedudukan selepas 37 minit apabila Omar mencetus panik di benteng lawan dengan
dua kali merampas bola dari kaki pertahanan Qatar.
Gol itu menyemarakkan semangat
UAE dan mereka mendahului tujuh minit babak kedua berlangsung.
Penjaga gol Qasem bertindak
lewat ketika sepakan percuma Ahmed dari penjuru kiri kotak penalti melepasi
setiap pemain dan menerjah jaring.
“Gol kedua saya pastinya lebih
cantik berbanding gol pertama,” jelas Ahmed, yang dipilih pemain terbaik
perlawanan. “Saya melakukan sepakan seperti yang diinginkan.”
Empat minit kemudian, Qasem
sekali lagi gagal menangani ‘set-piece’ dan menumbuk bola kepada Ali yang
menyepak masuk gol ketiga UAE.
Serangan bertali-arus Qatar
menyebabkan mereka sering terperangkap di pertahanan dan Omar sekali lagi
berganding dengan Ali yang menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-89.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 12 January 2015 @ 6:42 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/23228#sthash.kh78WVca.dpuf
No comments:
Post a Comment