Ad

Wednesday 21 January 2015

Tiada belas kasihan!

Gantung semusim jika pemain ikat dua kontrak dalam satu masa
ZAMZURINA AHMAD  |  22 Januari 2015 12:59 AM

GARY STEVEN ROBBAT (kanan) mencetus kontroversi apabila menandatangani kontrak bersama Pahang, sebelum mengambil keputusan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim.

MARAN - Mengambil iktibar daripada kontroversi yang melanda Gary Steven Robbat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal memperkenalkan hukuman gantung semusim kepada pemain yang menandatangani dua kontrak dalam satu masa.
Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, hukuman berat akan diperkenalkan tidak lama lagi bagi mengelakkan badan induk bola sepak negara itu dianggap membuat keputusan berat sebelah.
“Jika pemain mempunyai dua kontrak, mereka tidak akan dibenarkan bermain musim itu.
“Mereka mencari masalah dan saya harap ini (kes membabitkan Gary) akan menjadi yang terakhir.
“Kamu (pemain) yang mencari masalah, bukan majikan. Pemain mesti bertanggungjawab dan ja­ngan hendak berdolak-dalik," kata Tengku Abdullah dalam sidang akhbar pada program gotong royong membaiki rumah penduduk yang rosak akibat dilanda banjir di Kampung Pancor, Kertau di sini semalam.
Kontroversi membabitkan Gary bermula selepas pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak bersama Pahang sebelum membuat keputusan menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut menuntut khidmat pemain tengah kebangsaan tersebut dengan alasan Gary berasal dari Kulim, Kedah dan perlu menyertai pasukan negeri kelahirannya selepas tidak lagi mewakili Harimau Muda.
Akibat tindakannya itu, Gary digantung tiga bulan daripada menyertai sebarang kejohanan di bawah FAM dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkuat kuasa 16 Janua­ri lalu, selain didenda RM50,000.
Tengku Abdullah berkata, setiap pemain bola sepak di negara ini wajar mengambil ikhtibar daripada kes Gary yang boleh menimbulkan permasalahan kepada pemain itu sendiri dan pasukan yang ingin diwakilinya.
Beliau turut mengingatkan pemain supaya mematuhi dan memahami peraturan serta kod etika yang ditetapkan FAM.
“Perkara ini termasuklah kepada mereka yang hendak bergelar pemain profesional," katanya lagi.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiada-belas-kasihan-1.50824#sthash.WQqwVk4L.dpuf


No comments:

Post a Comment