Ad

Saturday, 17 January 2015

Tebus kecewa



Oleh Ferzalfie Fauziferzalfie@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong semakin hampir meraih kejuaraan sulung tahun ini apabila mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2015 selepas menumpaskan rakan senegara Lim Khim Wah-Ow Yao Han dalam saingan suku akhir, semalam.

V Shem-Wee Kiong tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 21-18, 21-13 dalam perlawanan berlangsung selama 31 minit di Stadium Perpaduan, Kuching.

Kemenangan semalam dianggap penebus kekecewaan berikutan seorang demi seorang pemain perseorangan negara termasuk Liew Daren tersungkur kepada lawan masing-masing.

Menurut V Shem, mereka hanya cuba yang terbaik dalam semua perlawanan dan berharap dapat melakukan perkara sama menjelang aksi separuh akhir hari ini.

“Saya kini sudah 90 peratus sembuh kecederaan lutut kanan, namun lutut kiri pula rasa sedikit sakit,” katanya yang meraih anugerah Olimpian 2014 bersama Wee Kiong, baru-baru ini.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia berharap kecederaannya tidak mengganggu menjelang pertemuan dengan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin hari ini.

“Mereka memang kuat, kami hanya boleh janji untuk memberikan persembahan terbaik,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 Incheon itu.

Hung Ling-Chi Lin mara ke separuh akhir selepas menundukkan satu lagi pasangan negara, Chooi Kah Ming-Teo Kok Siang 19-21, 21-11, 25-23.

Turut mara ke separuh akhir beregu campuran Chan Peng Soon-Lai Pei Jing yang mengalahkan pilihan kelapan dari Hong Kong Chan Alan Yun Lung-Tse Ying Suet 21-10, 21-17.

Mereka akan bertemu pilihan pertama dari Denmark Joachim Fishcher Nielsen-Christinna Pedersen yang sebelum itu mengalahkan Afiat Yuris Wirawan-Vita Marissa (Indonesia) 21-10, 21-15.

Selain Daren yang kalah kepada perseorangan India, Ajay Jayaram 16-21, 23-21, 8-21, Soo Teck Zhi juga mengalami nasib sama apabila tumpas di tangan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-16, 14-21, 10-21.

Pemain bebas, Mohamad Arif Abdul Latif pula kalah kepada Lee Hyun Il dari Korea Selatan, 21-19, 20-22, 11-21, manakala beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho disingkirkan pasangan Denmark, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-14, 21-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:10 AM

BEREGU negara, Ming Chooi dan Siang Teo akan menentang pasangan Taiwan, Hung Ling dan Lin Wang di separuh akhir hari ini.

No comments:

Post a Comment