WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2015
Raja Shamri ketika ditemubual
wartawan Sinar Harian, Murni Abdul Rashid. Raja Shamri ketika ditemubual
wartawan Sinar Harian, Murni Abdul Rashid.
NIAT menulis di Facebook oleh
Raja Shamri Raja Husin,39, anak jati Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh bagi
mengajak orang ramai membantu mangsa banjir menjadi satu fenomena apabila
mendapat sambutan luar biasa.
Namun bagi insan istimewa itu,
apa yang berlaku adalah berpunca dari kesedaran orang ramai yang ikhlas mahu
turun padang sebagai sukarelawan.
Menerusi nukilan dan cerita
ketika misi bantuan banjir menerusi laman sosial, facebooknya dikatakan berada
di tangga ketiga Asia dengan lebih 400,000 pengikut tidak sampai sebulan.
Untuk ulasan lebih lanjut
berkenaan semangat sukarelawan yang dicetuskan hingga jadi fenomena, ikuti temu
bual wartawan Sinar Harian, MURNI ABDUL RASHID bersama Raja Shamri.
Sejauh mana semangat
sukarelawan dapat dilihat ketika bencana banjir melanda baru-baru ini?
Memang luar biasa, kita tidak
merancang untuk menjadi sebegini besar hingga mengumpul lebih ribuan
sukarelawan dalam misi bantuan ini. Gerakan bantuan yang kita wujudkan juga
antara yang paling awal sampai ke kawasan bencana seperti Kampung Laut, Tumpat
bagi menghantar bekalan makanan.
Kita benar-benar mahu bantu dan
pastikan setiap bantuan sampai ke sasaran. Komitmen sukarelawan amat tinggi dan
sangat berani. Saya ketika itu berada di Pasir Puteh antara daerah yang tidak
terjejas banjir, ini jadi kelebihan apabila tempat saya menjadi pusat
pengagihan banjir.
Ia direncanakan oleh ALLAH SWT
dan kebetulan saya turut dikenali sebagai pakar motivasi yang mempunyai ratusan
ribu pengikut sebelum ini memudahkan lagi urusan untuk menggamit lebih ramai
sukarelawan.
Apabila saya muat naik status
dengan bercerita tentang keadaan banjir di tempat yang kita pergi ia mudah
untuk menarik pengikut secara tidak langsung.
Adakah sukarelawan yang anda
gerakan ini merupakan organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO)?
Sukarelawan yang digerakkan
saya bukan sebuah organisasi atau parti politik tetapi hanya sukarelawan kecil
sekitar Pasir Puteh, apabila saya umum di Facebook mengenai misi bantuan banjir
ini ramai yang bergabung.
Saya fikir ini adalah
kebangkitan rakyat ketika ada yang memerlukan pertolongan, seluruh negara salurkan
bantuan matlamat mereka adalah untuk selamatkan mangsa banjir tanpa menyalahkan
mana-mana pihak.
Saya hanya jadi perantara di
Facebook, cuba damaikan pihak-pihak yang bertelagah. Jika ada isu kita akan
tegur tidak kira siapa dan parti politik mana ia supaya bantuan dapat cepat
sampai ke matlamat.
Fenomena rakyat Malaysia untuk
menderma agak luar biasa, tetapi mereka tidak mahu melalui parti politik atau NGO. Mungkin selepas ini
gerakan ini akan reda membawa haluan masing-masing dan akan bersatu semula jika
ada bencana berlaku.
Kita adalah sukarelawan yang
bergerak sendiri namun setiap cerita yang dikongsi mendapat reaksi positif
orang ramai di seluruh dunia hingga mereka datang dari Singapura, Brunei, Doha,
Filipina datang ke Kelantan semata-mata untuk membantu.
Malah, saya sendiri adalah
sukarelawan bukan pengurus, ini membuatkan kami semua bekerja dalam keadaan
seronok tidak terlalu formal cuma sebelum sukarelawan bergerak ke lokasi banjir
saya hanya memberikan kefahaman, inspirasi serta motivasi agar dapat cetuskan
keinsafan dalam diri masing-masing.
Apakah konsep yang digunakan
untuk cetuskan semangat sukarelawan?
Kita hanya ikhlas membantu,
ikhlas bercerita di Facebook dengan automatik orang ramai akan datang kepada
kita. Cuma saya seru Syarikat Berkaitan/Milik Kerajaan (GLC) turun padang
melihat kawasan terjejas banjir kemudian menjadikannya sebagai kampung angkat
seperti yang berlaku di Acheh, Indonesia, bangunkan sekolah dan masjid.
Sifat sukarelawan yang
dicetuskan oleh anda di Facebook menjadi fenomena. Apa yang mendorong ia
mendapat sambutan?
Mungkin kerana saya sebagai
pencetus semangat ini tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik, ini
menunjukkan negara memerlukan ikon baru untuk mengetuai aktiviti kemanusiaan
atau berbentuk kebajikan.
Ikon baru itu juga kena bebas
dari fahaman politik, untuk mengajak orang ramai ikut dalam kerja sukarelawan
tidak susah kerana saya sudah berada dalam lapangan motivasi selama 15 tahun
dan mempunyai pengikut di laman sosial lebih setengah juta di seluruh negara.
Saya juga bila turun padang buat liputan cerita benda yang sebenar, jika ada
pihak buat tidak betul saya akan tegur agar diperbaiki.
Bagaimana mahu menjadi
sukarelawan yang bagus?
Letak tepi fahaman politik,
saya mengharapkan parti politik, NGO bila ada keperluan turun beramai-ramai
bantu pada skala masing-masing. Kita tinggal di negara maju, permudahkanlah
sistem atau prosedur di peringkat daerah jika keadaan kritikal.
Tidak perlu terlalu lama untuk
mengeluarkan arahan dan bertindak sedangkan mangsa banjir sudah seminggu
menyelamatkan diri di atas bukit. Ini yang perlu kita ubah dan perbaiki.
NGO yang berfungsi ketika
bencana berlaku amat perlu di mana mereka perlu diberikan latihan secukupnya
selain wujudkan budaya sukarelawan di peringkat sekolah lagi khususnya wujudkan
Kelab Sukarelawan untuk badan beruniform.
Apa perasaan bila anda
dikatakan gila kuasa dan berlagak hero dalam hal ini?
Jika saya gila kuasa mungkin
saya tidak akan guna Facebook sebaliknya pergi ke media massa agar mendapat
perhatian secukupnya. Isu ini tidak sepatutnya timbul, kerana saya sudah
dikenali kalau mahu popular mungkin saya buat ceramah di televisyen sahaja. Apa
yang berlaku di Kelantan ada banyak falsafah di sebaliknya.
Selepas banjir ini kita ada
tempat tertentu untuk fokus seperti bina dan bersihkan surau terjejas banjir,
apabila sempurna kita imarahkan pula dengan tazkirah bagi mereka (mangsa-mangsa
banjir) muhasabah diri.
Perlu muhasabah diri? Adakah
apa yang berlaku dalam akar masyarakat sangat teruk sehingga mereka menerima
ujian ini?
Ada segelintirnya agak teruk,
apa yang berlaku perlu jadikan pengajaran. Cuma apabila ada sukarelawan yang
datang kita ajar mereka bukan hanya bagi barang tapi juga memberikan nasihat
kepada mangsa banjir. Sebab itu kami gelarkan sukarelawan adalah The Third
Force pihak ketiga selepas kerajaan negeri dan pusat.
Kenapa anda melibatkan diri
sebagai sukarelawan?
Saya tidak terlibat dalam
sukarelawan cuma secara peribadi sahaja berjumpa dengan mangsa-mangsa yang
berdepan musibah, merantau ke Acheh, Indonesia bagi mendengar pengalaman
mereka.
Untuk misi banjir ini, pada
Disember tahun lalu saya banyak masa terluang jadual tidak padat dengan program
motivasi hanya jalankan perniagaan sahaja. Memang kali ini saya kerja keras
dalam misi bantuan mangsa banjir.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
25.1.15
No comments:
Post a Comment