KHAMIS, 22 JANUARI 2015 @ 2:02
PM
Karina Imran
PEMAIN negara, Faizal Saari
(dua dari kiri) menjaringkan gol pada perlawanan suku akhir saingan pusingan
kedua Hoki Liga Dunia 2015 menentang Mexico di Stadium Hoki Sengkang, Singapura
hari ini. Malaysia menang 10-1. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Selepas lebih tiga
tahun berada di ranking ke-13 dunia, skuad hoki Malaysia kini berjaya berada
pada kedudukan ke-12 dunia, hari ini.
Naib Presiden Kanan Konfederasi
Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata kali terakhir Malaysia pernah
berada di ranking ke-12 itu adalah sekurang-kurangnya, lima tahun lalu.
"Kita sudah lebih tiga
tahun berada di ranking ke-13, daripada ranking asal pada kedudukan ke-14.
Dengan pencapaian ini, saya rasa peluang kita untuk ke Sukan Olimpik di Rio de
Janeiro pada tahun hadapan lebih cerah.
"Tapi semua ini terpulang
kepada pemain itu sendiri, ..saya tengok Malaysia dapat tunjukkan peningkatan
prestasi daripada satu perlawanan ke perlawanan lain," katanya selepas
tamat perlawanan antara Malaysia dan Mexico di Stadium Hoki Sengkang, hari ini.
Malaysia menewaskan Mexico 10-1
pada perlawanan suku akhir Pusingan Kedua Hoki Liga Dunia (WHL) 2015 yang
bermula pada 16 hingga 25 Januari ini.
Nur Azmi berkata ini merupakan
peluang terbaik buat Malaysia dan para pemain perlu menunjukkan komitmen lebih
tinggi antara satu sama lain untuk memastikan kejayaan Malaysia.
Mengulas mengenai Pusingan
Kedua WHL ini, Nur Azmi berkata matlamat utama Malaysia adalah menjadi juara
dan mara ke separuh akhir WHL di Belgium atau Argentina, Jun ini.
"Masih ada tujuh tempat
kosong di situ (Sukan Olimpik) dan mungkin kita layak ke Olimpik jika ranking
kita bertambah baik, ..mungkin dalam tahun ini atau tahun depan kita dapat
capai matlamat kita yang sebenar," katanya.
Mengikut format kejohanan WHL,
tiga pasukan terbaik daripada pusingan ini akan melangkah ke peringkat separuh
akhir WHL.
Enam pasukan terbaik daripada
WHL akan layak ke Sukan Olimpik, bersama-sama tuan rumah, Brazil dan lima juara
benua. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
22.1.2015
No comments:
Post a Comment