Ad

Wednesday, 4 October 2017

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam (SIRI 49)



ARKIB : 20/07/2007

INGATLAH ketika Allah berfirman kepada para malaikat. Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka semua, kecuali Iblis, dia enggan dan sombong, maka dia adalah termasuk golongan yang kafir. (al-Baqarah: 34)

SEKETIKA Adam telah dijadikan oleh Allah, maka datanglah perintah kepada sekalian malaikat supaya sujud menghormati Adam. Kesemua mereka sujud kecuali iblis yang sombong itu. Iblis berasa dirinya lebih mulia daripada Adam kerana dijadikan daripada api sedangkan Adam dijadikan daripada tanah.

Iblis tidak mahu tunduk dan sujud kepada Adam, Allah lalu bertanya kepada iblis: “Bukankah engkau juga makhluk ciptaan-Ku, yang juga harus tunduk dan menjalankan perintah-Ku, tetapi kenapa engkau tidak sujud dan tidak memberi hormat terhadap Adam sebagaimana Aku perintahkan?”

“Engkau ciptakan aku daripada api dan Adam daripada tanah. Ini bererti aku lebih mulia daripada Adam. Maka tidak sepatutnya aku sujud dan hormat kepadanya,” jawab iblis.

Keangkuhan iblis dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan berasa tinggi diri untuk sujud menghormati Adan sebagaimana malaikat yang lain, walaupun diperintahkan oleh Allah.

Mendengar kata-kata iblis itu, Allah menjadi marah lalu berkata kepada iblis bahawa syurga bukan tempat orang yang menyanggah suruhan Allah.

Kerana kesombongan, kebongkakan dan pembangkangan itu, Allah mengusir iblis dari syurga dan mengeluarkan dari barisan malaikat.

Allah mengutuk dan melaknat iblis sehingga ke hari kiamat. Di samping itu, iblis juga akan dimasukkan sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan bongkaknya menerima baik hukuman daripada Allah itu. Iblis memohon agar Allah memberi kesempatan untuknya kekal hidup sehingga ke hari kiamat. Allah memperkenankan permohonannya dan ajal iblis ditangguhkan sampai ke hari kebangkitan.

Iblis berazam untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam. Iblis mahu supaya mereka lalai daripada beriman dan taat kepada perintah Allah.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4uXX3MBk2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Masjid Kampung Laut



ARKIB : 19/07/2007

Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (mindakritis@yahoo.com)

MASJID Kampung Laut adalah salah sebuah masjid yang tertua di negara ini dan terletak di Nilam Puri,Kelantan. Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran dan pembelajaran agama Islam terutamanya di Kota Bahru, Kelantan.

Menurut Persatuan Sejarah Malaysia, bangunan ini dipindahkan dari tapak asalnya di Kampung Laut setahun selepas berlakunya banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1966. Namun begitu, masjid ini dikatakan telah dibina lebih kurang 300 hingga 500 tahun yang lampau dan menurut sesetengah pendapat, ia merupakan masjid yang tertua jika dibandingkan dengan Masjid Demak yang terdapat di Kepulauan Jawa.

Sejarah dan asal-usul pembinaan

Terdapat tiga teori yang telah dikaitkan dengan asal-usul pembinaan Masjid Kampung Laut ini. Menurut teori yang pertama sebagaimana yang telah disampaikan oleh ahli sejarah tempatan iaitu Nik Man Bin Nik Mat, masjid ini telah didirikan oleh Raja Iman. Nik Man menyatakan bahawa lebih kurang 400 tahun dahulu terdapat seorang putera Muslim Sri Vijayan yang bernama Syed Mahmud di bawah gelaran Raja Muda Laksamana.

Putera ini belayar dari Kepulauan Jawa apabila terdapat pergaduhan untuk merebut takhta kerajaan. Kapal yang beliau naiki terperangkap dalam ribut taufan dan menghanyutkan baginda ke perairan pantai di Selatan Siam.

Kebanyakan pengikut baginda mula menetap di kawasan tersebut, manakala sebahagian lagi menjelajah ke seluruh pelosok kawasan tersebut sehingga bertemu sebuah perkampungan yang bergelar Kampung Laut.

Syed Mahmud yang menukar namanya kepada Raja Iman kemudiannya mendirikan sebuah wakaf sebagai tempat berteduh dan akhirnya ia berubah fungsi menjadi sebuah masjid.

Teori yang kedua pula dikemukakan oleh seorang ahli falsafah iaitu Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi. Menurut hasil kajian beliau, masjid ini telah didirikan lebih kurang 500 tahun yang lampau oleh penuntut agama Islam dari Champa. Penuntut ini bertugas sebagai penyebar agama Islam dari Jawa yang membawa bersama mereka pelan prototaip masjid dan bertujuan untuk menubuhkan tiga buah pusat Islam di seluruh pelusuk Nusantara ini.

Abdul Rahman berkata, dua daripada masjid yang telah terbukti didirikan ialah di Timur Jawa dan salah satunya ialah Masjid Demak dan Masjid Kampung Laut ini merupakan masjid yang pertama dibina oleh mereka. Kenyataan ini juga dibuktikan sahih kerana usia Masjid Kampung Laut didapati lebih awal dibina dari Masjid Demak di Pulau Jawa.

Teori yang ketiga pula dikemukakan oleh Ustaz Abdullah bin Muhammad yang menetap di Kampung Langgar, Kota Bahru. Menurut hipotesis beliau, masjid tersebut didirikan oleh dua orang wali dari sembilan orang wali yang terkenal ketika itu iaitu yang bergelar Sunang Giri dan Sunang Bonang. Ia dipercayai bahawa dua ahli sufi dari Jawa ini yang mendapat didikan di bawah Sheikh Mohamad Saman telah diarahkan untuk mendirikan masjid tersebut.

Walau bagaimanapun, Masjid Kampung Laut ini masih dipulihara sehingga kini dan keadaan asalnya masih dikekalkan sejak pemerintahan Sultan Mahmud pada awal kurun ke-20 lagi.

Perancangan dan konsep reka bentuk

Bahagian utama masjid ini terdiri daripada pelan berbentuk segi empat yang dilitupi dengan bumbung piramid yang disusun secara tiga tingkat. Bahagian bumbung yang paling atas ditinggikan sedikit arasnya dan diletakkan tingkap bagi memudahkan pencahayaan.

Bumbung ini dihiasi dengan motif ukiran buah betung. Keseluruhan lantai masjid ini ditinggikan lebih kurang satu meter dari aras tanah.

Ia tidak dilengkapi dengan serambi sebaliknya dikelilingi oleh dinding panel yang diperbuat daripada kayu pada bahagian dalamannya. Dinding panel tersebut ditebuk dan dijadikan bukaan bagi pintu dan tingkap.

Pengubahsuaian kemudiannya dijalankan dan sebuah ruang yang digelar balai lintang ditambah pada bahagian tepi masjid tersebut bertentangan dengan dinding mihrab dan ruang serambi besar juga turut disambungkan.

Dua buah ruang yang baru dibina ini didirikan rendah sedikit dari aras bahagian utama masjid tersebut. Ruang serambi kemudiannya ditambah pada bahagian timur masjid tersebut dan dikenali sebagai wakaf ‘orang kaya’.

Frasa ‘orang kaya’ ini dikhaskan untuk golongan pegawai kerajaan dan orang yang berpengaruh ketika itu. Menara yang dibina dari kayu ini disambungkan ke bahagian masjid dan boleh dilalui dari serambi pada bahagian timur yang pada asalnya terletak di tengah-tengah balai lintang tersebut. Ketinggian menara tersebut lebih kurang sama dengan aras puncak bumbung masjid utama.

Elemen reka bentuk dan bahan binaan

Keseluruhan rekabentuk masjid ini dibina daripada kayu cengal dan dilitupi dengan jubin singgora pada bahagian atap bumbungnya. Masjid ini tidak mempunyai sebarang ornamentasi atau ukiran yang khusus kecuali di bahagian mimbar yang terletak di dalam masjid. Walaubagaimanapun elemen butiran yang diadaptasikan pada rekabentuk masjid ini melambangkan kemahiran dan keupayaan hasil kraf tangan yang tinggi oleh perekanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4uXEglnFG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norizan baru terfikir taktik



ARKIB : 18/07/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 Norizan Bakar.

KUALA LUMPUR – Setelah terkeluar daripada saingan ke suku akhir lebih awal dan bolos 10 gol, barulah jurulatih negara, Norizan Bakar terfikir untuk menerapkan corak bertahan apabila Malaysia melayani Iran di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Menyedari Iran tetap memburu kemenangan bagi menjuarai Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia ini sekalipun hanya perlu seri untuk mara, Norizan turut menetapkan matlamat untuk anak buahnya mengurangkan gol yang bakal membolosi gawang skuad negara.

‘‘Kami perlu berpijak di bumi nyata. Kami tidak mampu menang dengan Iran tetapi pendekatan kami dalam perlawanan itu nanti perlu tepat iaitu bertahan dan menyekat lawan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Prince di sini, semalam.

Katanya, dua perlawanan lalu yang menyaksikan Malaysia dibelasah 5-1 dan 5-0 oleh China dan Uzbekistan sudah cukup mengajarnya dan skuad negara bahawa sebarang percubaan untuk menyerang hanya akan mendedahkan barisan belakang sehingga dihukum lawan.

Ujar Norizan, ada beberapa muka baru dan rombakan dalam kesebelasan utama negara yang telah difikirkannya tetapi kesemuanya cuma boleh didedahkan beberapa jam sebelum perlawanan pukul 8.35 malam ini.

Ditanya sama ada Suffian Ab. Rahman bakal menggantikan penjaga gol utama, Azizon Kadir, jurulatih skuad negara ini turut enggan mengesahkannya sekalipun terdapat segelintir pemain lain yang sentiasa memanaskan bangku simpanan sejak siri persahabatan, bulan lalu lagi.

Bagaimanapun katanya: ‘‘Semangat pasukan saya kini agak menurun tetapi kami perlu menjalankan tanggungjawab untuk menamatkan persaingan ini. Kami sedar kami dikritik hebat kerana dua kekalahan itu tetapi kami menganggapnya sebagai lumrah dalam bola sepak.”

Norizan mengakui sebarang pakar psikologi terbaik dunia pun tidak mampu memulihkan semangat pasukannya kini tetapi mereka akan cuba menjadikannya sebagai sebahagian pengajaran.

Mengenai isu peletakan jawatan Timbalan Tengku Abdullah sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beberapa pegawai majlisnya, Norizan terus enggan diheret sama ke dalamnya dan lebih berminat menumpukan perhatian kepada aksi dengan Iran.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uX5XxmAX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, 3 October 2017

Gulung tikar! - Malaysia tersingkir penuh aib dan memalukan

ARKIB : 15/07/2007
Oleh: AMRAN MULUP
 HAMPA...Kekecewaan jelas terbayang pada wajah pegawai-pegawai pasukan dan para pemain skuad Malaysia di bangku simpanan selepas menyaksikan kesebelasan utama negara dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan C Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. – Reuters.

KUALA LUMPUR – Tatkala Vietnam hampir meloloskan diri, Thailand dan Indonesia masih berpeluang, hanya Malaysia selaku tuan rumah bersama yang pertama tersingkir dengan penuh aib dan memalukan daripada memburu tempat ke suku akhir bola sepak Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas Malaysia dibelasah China 1-5, giliran Uzbekistan pula menunjukkan betapa rapuh dan longlainya martabat bola sepak skuad kebangsaan yang tunduk 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia.

Biarpun jurulatih Norizan Bakar merombak kesebelasan utama ketika diaibkan oleh China 5-1, Selasa lepas untuk bertemu Uzbekistan kononnya bakal membawa perubahan baru, tetapi hakikatnya tidak ada apa yang mampu dibanggakan.

Kerapuhan bahagian tengah menguasai bola selain hantaran-hantaran tidak tepat dan mudah dirampas pemain lawan disusuli ketumpulan jentera serangan melakukan tindakan penyudah di depan pintu gol, membuktikan kelemahan yang terpancar membelenggu skuad kebangsaan dalam perlawanan ini.

Segelintir penonton yang hadir kerana masih mempunyai belas ihsan terhadap skuad kebangsaan menggeleng-geleng kepala melihat aksi pemain yang jelas longlai biarpun Uzbekistan bukanlah skuad yang dianggap handal selepas mereka tunduk 2-1 kepada Iran dalam perlawanan pertama.

Apa lagi alasan yang harus diberikan oleh Norizan mengupas kekalahan kedua kepada Uzbekistan apabila menunjukkan jalan keluar lebih awal buat skuad kebangsaan dan perlawanan terakhir menentang Iran Rabu ini sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.

Buat Uzbekistan kemenangan mudah 5-0 ke atas Malaysia menghidupkan kembali peluang mereka untuk terus bersaing memburu tempat ke suku akhir di sebalik kekalahan 1-2 kepada Iran dalam perlawanan pertama dan akan membuat perhitungan terakhir menentang China Rabu ini.

Empat gol Uzbekistan menerusi jaringan Maksim Shatskikh (m-9, m-89), Timur Kapadze (m-29), Ulugbek Bakaev (m-45) dan Aziz Ibragimov (m-84) sudah cukup menutup peluang Malaysia daripada layak ke suku akhir.

Kekalahan kedua buat Malaysia menyaksikan skuad kebangsaan terus menduduki tangga tercorot Kumpulan C tanpa mengutip sebarang mata.

Penguasaan Uzbekistan terserlah sejak daripada minit-minit awal dengan asakan bertali arus mencemaskan seketika benteng pertahanan yang dikemudi oleh ketua pasukan, Muhammad Kaironnisam Hussain.

Uzbekistan lebih awal memecah kebuntuan jaringan gol pada minit kesembilan hasil tandukan mudah ketua pasukan, Maksim Shatskikh.

Biarpun penjaga gol kebangsaan, Azizon Abdul Kadir dapat menampan bola tetapi sebaliknya bergolek masuk ke gawang sendiri.

Gol itu terus menenggelamkan aksi anak didik jurulatih Norizan Bakar dengan setiap hantaran di bahagian tengah mudah dirampas oleh pemain lawan.

Peluang terbaik buat skuad kebangsaan untuk mengikat kedudukan hadir pada minit ke-19 namun rembatan kencang Shahrulnizam Mustafa dari luar kotak penalti beberapa inci keluar daripada tiang gol sebelah kanan Uzbekistan.

Pada minit ke-29 Uzbekistan mengukuhkan kedudukan Timur Kapadze pula memahatkan nama sebagai penjaring kedua.

Kesilapan Muhamad Kaironnisam gagal menyekat pergerakan Kapadze, dia mudah mengelecek dua lagi pemain pertahanan skuad kebangsaan sebelum melepaskan rembatan lemah ke penjuru kanan gagal diselamatkan oleh Azizon.

Pada masa kecederaan sebelum rehat, Uzbekistan mencipta gol ketiga menerusi sepakan penalti Ulugbek Bakaev.

Malaysia hampir-hampir mengikat kedudukan dalam tempoh lima minit sebelum rehat apabila sepakan percuma Hardi Jaafar mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Uzbekistan, Ignatiy Nesterov manakala tandukan Hairuddin Omar pula meliar keluar.

Kesilapan Azizon Kadir menjatuhkan Bakaev di kotak penalti membawa padah apabila pengadil perlawanan Abdulrahman Abdou dari Qatar tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang mudah ditolak masuk pemain itu.

Uzbekistan menutup tirai dengan dua jaringan pada babak kedua menerusi pemain gantian Aziz Ibragimov pada minit ke-84 dan Maksim pula seminit sebelum tamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uRwxWVQW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khairy pertahan skuad negara



ARKIB : 14/07/2007

Oleh: AZRAN FITRI RAHIM

MACHANG – Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin tetap mempertahankan pengurusan dan jurulatih skuad negara meskipun dibelasah China 5-1 pada erlawanan pembukaan Piala Asia, Selasa lalu.

Khairy berkata, kekalahan tersebut tidak boleh diletakkan ke atas bahu jurulatih, Norizan Bakar dan para pemainnya semata-mata.

‘‘Saya memang kecewa dengan kekalahan yang memalukan itu tetapi Cikgu Norizan dan pengurusan FAM tidak boleh disalahkan kerana kita perlu menerima hakikat setakat ini saja standard pemain negara.

‘‘Kesemua pemain yang dipilih mewakili Malaysia adalah pemain terbaik yang ada di negara ini tetapi jika itu tahap permainan yang ditunjukkan mereka kita harus menerimanya.

‘‘Kita ketandusan pemain yang hebat kerana cara untuk mencungkil dan mengilap bakat baru dari peringkat akar umbi tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan memalukan negara pada perlawanan pembuka tirai menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Khairy berkata, jika menukar pengurusan, jurulatih dan pemain sekali pun ia tidak akan mengubah prestasi skuad bola sepak negara kerana apa yang ada sekarang adalah yang terbaik di negara ini.

‘‘Hanya setakat ini keupayaan kita untuk bermain bola, saya beri tempoh 10 sehingga 15 tahun lagi untuk melihat skuad bola sepak negara kita menunjukkan prestasi sebanar,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah rakyat di negara ini tidak pandai bermain bola sepak, Khairy menjelaskan, negara mempunyai pemain muda berbakat tetapi mereka tidak mendapat asuhan yang baik dari peringkat akar umbi.

‘‘Jika mahu melihat Malaysia berjaya di peringkat antarabangsa, perubahan perlu dibuat diperingkat akar umbi untuk memastikan bakat yang ada dapat diasuh dengan sebaik mungkin.

‘‘Saya melihat kesilapan utama kita adalah tidak dapat mendidik bakat baru yang ada supaya muncul sebagai pemain bertaraf dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4uRp1kEcy
© Utusan Melayu (M) Bhd