Ad

Tuesday, 28 July 2015

Rombakan Kabinet: Muhyiddin gugur, Zahid Hamidi TPM baharu

28 Julai 2015 2:50 PM
KUALA LUMPUR 28 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada barisan Kabinet baharu, demikian diumumkan hari ini dan tempatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Ahmad Zahid akan terus memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.
Pengumuman rombakan kabinet secara langsung menerusi televisyen itu menyaksikan lima orang digugurkan dan tujuh dilantik menteri baharu.
Mereka yang digugurkan:
- Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pendidikan)
- Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
- Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)
- Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar)
- Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
- BERNAMA

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rombakan-kabinet-muhyiddin-gugur-zahid-hamidi-tpm-baharu-1.117963#sthash.st7cCQvF.dpuf

Negara Kesatuan Perancis


oleh AHMAD BIN YAAKOB
Hasil Pembelajaran –Membincangkan sistem pemerintahan negara kesatuan dan negara persekutuan.
Negara Kesatuan Perancis abad ke-18-19 (1700-1899)

1.a) Konsep negara kesatuan.
Negara kesatuan merujuk kepada kuasa kerajaan Pusat lebih luas berbanding kuasa kerajaan tempatan yang lebih terhad. Ia juga merujuk kepada pemusatan semua kuasa negara di dalam satu sistem yang memberikan kuasa tertinggi kepada kerajaan pusat.Contoh kerajaan kesatuan ialah Perancis, Britain, Itali dan Jepun.[1]

b.Pemerintahan negara kesatuan.
Konsep negara kesatuan yang diamalkan di Perancis merujuk kepada pemusatan semua kuasa negara sehingga memberi kuasa tertinggi kepada kerajaan pusat.

      Setelah sistem feudal dihapuskan, pentadbiran baharu diperkenalkan di Perancis. Perancis dibahagikan kepada 83 department atau wilayah. setiap department pula dibahagikan kepada cantons atau daerah. Setiap cantons dipecahkan lagi kepada commune.

      Departmen yang ditubuhkan pada tahun 1790 berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan . Pentadbirannya  diketuai seorangPrefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Setiap prefet bertanggungjawab terus kepada Menteri dalam negeri.

      Di setiap departmen diwujudkan General Council. Ahlinya dilantik pemerintah pusat. General Council menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan pusat.  Commune pula berperanan mendabir kawasan bandar.[2]  

      Commune dibentuk bagi mentadbir kawasan bandar. Institusi ini diketuai oleh Datuk Bandar atau Mayor sebagai ketua eksekutif. Selain itu diwujudkan juga sebuah Majlis Bandaran  (Municipal Council). Antara tugas Commune termasuklah mengendalikan perkara-perkara yang menyentuh pentadbiran di bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk dan menguruskan pendaftaran perkahwinan.

      Datuk bandar merupakan wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Beliau berperanan untuk menguatkuasa undang-undang tempatan,mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja di kawasannya dan lain-lain. Bagaimana pun keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.[3]

      Commune merupakan isntitusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.[4]




[1]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,141.    
[2]“Negara Bangsa”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 1,73.   
[3]Mahdi Shuid,Sazlina Othman, Ajurun Begum Ahamed, Teks STPM Sejarah (Sejarah Dunia) Penggal 1,142.     
[4]Ibid, 143. 

Monday, 27 July 2015

Pemain Johor DT terbeban


 

Pemain Johor DT terbeban
SAFIQ berharap rakan sepasukan dapat mengekalkan kekuatan mental dan fizikal biarpun berdepan jadual liga dan Piala AFC yang padat bulan depan.

PEMAIN Johor Darul Takzim (Johor DT) kini menggalas tanggungjawab sukar bagi menghadapi tujuh baki saingan Liga Super yang begitu padat ditambah de­ngan saingan suku akhir Piala Konfede­rasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang South China bulan depan.

Kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim mengakui tanggungjawab tersebut sememangnya menjadi cabaran getir dalam menerajui pasukan dan pada masa sama berharap setiap pemain tidak melakukan sebarang kesilapan kecil semasa dalam perlawanan.

“Saya akui bulan Ogos ini menjadi laluan sukar kepada kami memandangkan jadual saingan liga yang padat dan suku akhir Piala AFC. Tekanan ini bukan terletak kepada pasukan kami sahaja, malah pasukan lain turut merasakan bahang sama.

“Bagaimanapun, apa yang menjadi penentu kelak adalah kekuatan mental dan fizikal setiap pemain. Saya berharap mereka akan terus mengekalkan konsentrasi dan kualiti ketika di padang, selain tidak goyah dengan sebarang tekanan luar," katanya ketika dihubungi di Johor Bahru semalam.

Safiq memberitahu, pasukannya kini berada di dalam optimum setelah be­rehat daripada saingan liga berikutan Hari Raya Aidilfitri beberapa minggu lalu.

“Saya rasa setiap pemain tidak sabar untuk beraksi dan sesi latihan telah berjalan seperti biasa. Saya berharap pasukan kami mampu mencipta sejarah pada tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyerang berbisa Johor DT, Safee Sali turut mengakui perkara sama dan berharap persediaan yang mencukupi menjadi perkara pokok dalam menentukan kualiti permainan dapat dipamerkan ke tahap optimum.

“Saya perlu menyatakan ia sangat sukar untuk kita. Seperti menghadapi lapan peperiksaan akhir dalam masa sebulan. Siapa tidak mahu menjadi pemenang? Ini adalah tujuh perlawanan yang akan menentukan juara liga.

“Oleh itu, latihan yang cukup, pemulihan yang baik, pemakanan yang betul dan tenaga serta rehat yang secukupnya adalah fokus utama kami pada bulan hadapan,” katanya.

Johor DT yang kini berada di tangga kedua dengan 31 mata di bawah pendahulu Liga Super, Pahang bakal memulakan saingan pada 1 Ogos ini menentang Sarawak.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3h8Ca107M Hakcipta terpelihara

Fitri kembali ke padang hoki

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
MOHD. FITRI (kiri) akan kembali beraksi dalam kempen musim baharu Liga Premier MHL bersama skuad THT selepas menyepi selama tujuh bulan.

BEKAS perancang skuad hoki negara, Mohd. Fitri Saari kembali turun padang bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk mengharungi saingan Liga Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini selepas tujuh bulan menyepi.

Bekas kapten skuad remaja kebangsaan yang meraih tempat keempat pada kejohanan Piala Du­nia Remaja 2013 itu sudah tidak sabar untuk membuktikan kepakarannya masih belum berkarat meskipun te­lah lama menyepi daripada beraksi.

“Semangat saya mahu bermain cukup tinggi kerana tidak sabar untuk menonjolkan kebolehan yang ada selepas lama berehat daripada bermain pada peringkat tertinggi sebelum ini. Saya harap mampu menyinar pada aksi pembukaan MHL iaitu Piala Sumbangsih (menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur, Ahad ini).

“Tiada sebarang sasaran peribadi, saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan bersama THT. Saya tidak pandang apa-apa anugerah. Jika dapat, itu rezeki buat saya.

“Paling penting ialah saya mahu membantu THT mempertahankan kejuaraan berganda musim lalu. Menang memang senang tetapi untuk pertahan itu susah. Kami perlu kerja lebih kuat berbanding tahun lepas,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Fitri, 22, yang merupakan adik kepada penyerang skuad kebangsaan, Faizal Saari, 24, sebelum ini memilih untuk tidak kembali ke pangkuan pasukan hoki negara sejak Februari lalu gara-gara masalah keluarga.

Kali terakhir Fitri beraksi di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Malaysia menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada Januari lalu.

Kini, Fitri kembali untuk menggalas misi skuad hoki negara selepas menyelesaikan urusan peribadi.

Bagaimanapun, terdapat keraguan terhadap kecergasan Fitri selepas pemain itu lama menyepi sebelum ini, namun pemain kelahiran Kelantan itu mengaku tidak risau berhubung perkara tersebut.

Ini kerana Fitri mengakui, dia ba­nyak melakukan aktiviti kecergasan selain menjalani latihan secara peribadi dengan jurulatih THT, Sarjit Singh.

“Saya tidak risau mengenai masalah kecergasan. Saya rasa (kecergasan) masih baik kerana banyak melakukan aktiviti lain dalam tempoh tujuh bulan sebelum ini.

“Saya cuma risau berhubung persefahaman dalam pasukan dan lima pemain import kerana mereka baru sampai. Kami perlu banyakkan latihan untuk mencari keserasian,” jelas Fitri yang turut berminat untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3h8762GrI Hakcipta terpelihara

Sokong guna pemain naturalisasi


MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI DAN ZAZALI JAMIAN  |  27 Julai 2015 12:50 AM

Patrick RONALDINHO (kanan) diasak oleh pemain  Liverpool, Martin
PATRICK RONALDINHO (kanan) diasak oleh pemain Liverpool, Martin Skrtel dan penjaga gol Adam Bogdan dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Jumaat lalu. Ronaldinho memberi impak kepada skuad Pilihan Malaysia apabila menjaringkan gol pendahuluan perlawanan. utusan/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju bahawa skuad kebangsaan memerlukan pemain naturalisasi andai tindakan itu mampu memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara.
Setiausaha Agung FAM dan juga pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, langkah itu mungkin diambil sekiranya FAM berasakan pengambilan pemain naturalisasi mampu meningkatkan tahap bola sepak negara dan skuad negara dapat memberi saingan di peringkat antarabangsa selain dilakukan sebagai salah satu cara membangunkan bola sepak negara.
“Sekiranya bagus untuk pembangunan bola sepak apa salah­nya. Kita di pihak FAM menyokong pengambilan pemain naturalisasi sebagai salah satu cara untuk me­ningkatkan prestasi bola sepak negara, tetapi harus diingat pengambilan pemain itu perlu mendapat kelulusan kerajaan.
“FAM tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil langkah itu dengan sendiri tanpa kelulusan pihak kerajaan kerana yang memberi status warganegara bukan kita tetapi kerajaan.
“Pendekatan yang kini diambil FAM adalah mengambil pemain yang mempunyai pertalian darah dari ayah, ibu, datuk, nenek atau sebagainya seperti Junior Eldstal, Brendan Gan dan Matthew Davies yang memudahkan kita dalam urusan membuat pasport dan kad pengenalan sebagai warganegara Malaysia,” katanya kepada pembe­rita semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Petaling Jaya, dekat sini semalam.
Kelmarin jurulatih skuad negara Dollah Salleh meluahkan pandangannya bahawa kejayaan skuad Pilihan Malaysia mempamerkan aksi meyakinkan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool membuktikan pemain luar mampu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
Ini terbukti apabila lima pemain import dalam Liga Super dan Perdana iaitu dua pe­nyerang Patrick Ronaldinho dan Charles Souza Chad, dua pertahanan Vincent Bikana serta Thiago Ju­nior Aquino dan seorang pemain tengah Zah Rahan Krangar untuk memperkuatkan cabaran Pilihan Malaysia dapat membantu skuad negara melakar keputusan seri 1-1 dengan The Reds.
Semua pemain itu memberi sumbangan besar, terutama Ronaldinho yang menjaringkan gol pendahuluan manakala kehadiran Bikana serta Thiago yang tegap menjadi penghalang utama skuad kendalian Brendan Rodgers daripada menembusi pertahanan skuad negara.
Bagaimanapun Hamidin berkata perkara itu perlu dibincangkan oleh exco FAM dan mendapat persetujuan sebelum dicadangkan kepada kerajaan.
“Perkara ini perlu diperhalusi dahulu dan mendapat persetujuan semua exco FAM. Selepas itu baru kita bawa usul ini kepada kerajaan.
“Kalau kerajaan benarkan maka bagus untuk bola sepak kita tetapi ditekankan di sini perkara itu bukan menjadi keutamaan kerana kita ada banyak lagi perancangan masa panjang.
“Pembangunan akar umbi adalah lebih mustahak dan kita ada lagi pemain naturalisasi yang ada pertalian darah dengan negara bakal dibawa pulang. Siapa pemain itu kita akan beritahu kemudian,” jelasnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sokong-guna-pemain-naturalisasi-1.117377#sthash.bhE9pjDn.dpuf

Sunday, 26 July 2015

Langkah tepat turunkan pemain muda

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2015
Langkah tepat turunkan pemain muda
Langkah tepat turunkan pemain muda
Mohamad Nasir Basharuddin (kiri) pemain muda negara yang beraksi cemerlang ketika berdepan Liverpool.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan taktikal Dollah Salleh mengenengahkan pemain muda ketika beraksi menentang Liverpool, malam kelmarin, sebagai tindakan tepat, lapor KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB.

Menurut beliau, seandainya usaha tersebut dapat diteruskan dan mendapat tumpuan sewajarnya, tidak mustahil mutu bola sepak tanah air, termasuk Negeri Sembilan akan melangkah ke era baharu.

“Banyak budak-budak (pemain) kita yang bukan regular masa lawan Liverpool. Tapi, mereka bermain secara bermati-matian.

“Beri peluang kepada anak-anak muda untuk buktikan kebolehan masing-masing di peringkat negeri atau negara pada masa depan. Bakat mereka perlu kita gilap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban, semalam.

Selain itu, Mohamad berkata, setiap pemain mesti ada semangat yang tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik semasa di atas padang.

“Bola sepak bukanlah rumit. Sesiapa pun boleh main. Tapi, kadang kala jadi susah sebab memang tidak mahu main (sungguh-sungguh). Depan gawang yang tidak ada penjaga gol pun, gagal buat jaringan.

“Jadi, semangat ini perlu dibina dalam kalangan pemain muda. Kena tebal macam zaman dulu. Walaupun cuma dibayar RM10, RM20 sekali main pada masa itu, mereka tetap bersemangat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, memang sudah tiba masanya skuad Harimau Malaya menampilkan muka baharu untuk mewakili negara.

“Cukuplah. Lebih baik dapatkan pemain baharu. Latih mereka betul-betul dan tanam semangat untuk menaikkan nama negeri dan negara. Itu yang kita perlu buat dari sekarang. 

“Tidak usahlah kita cuba memperbaiki labu yang ditebuk tikus. Apa yang rosak, tidak akan elok lagi. Macam beras sudah menjadi antah. Lupakanlah antah itu. Saya tidak menuduh apa-apa, tapi inilah kenyataannya,” katanya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 26.7.2015

Dollah ceria, puji pemain muda selepas kejut The Reds


DOLLAH Salleh (kanan) pada sidang media perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia (PM) menentang Liverpool FC di Ballroom Saujana Hotel, Subang sambil diperhati Ketua Jurulatih Liverpool, Brendan Rodgers (kiri). - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, Dollah Salleh memuji pemain muda dalam skuad Pilihan Malaysia (PM) yang menampilkan aksi cemerlang untuk mengikat kelab gergasi England, Liverpool, 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi. Mengambil contoh penyerang skuad Harimau Muda B, S. Kumaahran, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, pemain berkenaan menampilkan persembahan terbaiknya biarpun diturunkan pada babak kedua perlawanan itu.

Oleh itu, katanya, aksi pemain itu memberi amaran kepada pemain senior supaya memberikan usaha yang lebih baik untuk memburu tempat dalam skuad negara bagi menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2009 yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

 "Saya tidak menjangka pemain itu bermain dengan sungguh baik walaupun diturunkan pada babak kedua perlawanan. "Bagi saya, semua pemain perlu berjuang untuk menempah tempat dalam skuad negara," katanya selepas perlawanan itu. Dollah juga bangga dengan keputusan itu walaupun skuad bimbingannya mempunyai masa yang singkat untuk melakukan persiapan. Dalam aksi malam tadi itu, skuad bimbingan Dollah tidak mengecewakan hampir 50,000 penonton apabila mengejutkan Liverpool dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh. Wleh menyempurnakan gol pendahulu itu apabila mengecewakan penjaga gol simpanan skuad The Reds, Adam Bogdan. Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool memperkemaskan semula taktik dengan melakukan serangan bertali arus sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan deras pemain sayap berusia 19 tahun, Jordan Ibe. - BERNAMA

SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/69955