‘Cinta saya tak berubah’
Pasir Puteh: “Tidak mungkin
saya melupakan insiden itu dan sampai bila pun saya akan ingat terutama
bagaimana dia (penjenayah) menoreh muka saya,” kata Nur Shafiqa Lah, 22.
Dalam kejadian jam 2 petang
Ahad lalu, muka Nur Shafiqa ditoreh manakala matanya ditumbuk dua lelaki yang
memecah masuk rumahnya di Wakaf Berangan, Bandar Sri Aman, di sini.
Turut dicederakan dalam kejadian
itu ialah ibu mangsa Hat Tema Mat Zin, 58.
Menceritakan kejadian malang
itu, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia hanya teringat mati
lebih-lebih lagi apabila penyamun itu tidak menghiraukan rayuan, sebaliknya
terus mencederakannya.
“Saya guna kedua-dua tangan
untuk melindungi muka dan menangkis serangan lelaki itu.
“Namun, dia cepat menoreh muka
dan sedar-sedar saja, saya rasa muka ngilu dan panas apabila darah mengalir
dengan banyak dan tangan juga terasa perit. Akibat tidak tahan, saya cuba lawan
dan menjadi agresif dan ketika itu, dia keluar dari bilik dan saya mengambil
kesempatan mengunci pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nur Shafiqa berkata, dia
bersyukur kerana diberikan kekuatan mempertahankan diri walaupun teruk
dikerjakan penjenayah, malah dalam keadaan lemah itu masih sempat meminta
bantuan daripada jiran.
Menurutnya, dia tidak pasti
nasib dirinya jika tiada jiran mendengar jeritan itu, malah dia masih trauma
dengan kejadian yang berlaku.
“Kejadian itu begitu pantas dan
penjenayah menceroboh masuk pun seperti halimunan. Saya tidak hanya ditarik
keluar dari bilik air, malah kepala turut diketuk dengan objek tumpul.
“Ibu juga cedera ditumbuk
beberapa kali di muka. Syukur adik saya selamat kerana sempat bersembunyi di
bawah katil,” katanya yang hanya membuka pintu bilik apabila jiran memenuhi
rumah mereka untuk membantu.
Nur Shafiqa dan Hat Tema dibawa
ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti
Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, dia hanya
dibenarkan keluar hospital dan dibawa pulang ke rumah pagi semalam oleh bapanya
Lah Hassan, 59, serta tunangnya Mohd Azijja Zafran Mohd Zahari, 24.
Mohd Azijja Zafran berkata, dia
berharap penjenayah yang mencederakan tunangnya dapat ditangkap segera dan
dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, mereka bercadang
melangsungkan perkahwinan pada Mac depan, namun bercadang mempercepatkan tempoh
itu.
Katanya, cintanya terhadap Nur
Shafiqa tidak berubah, malah menjadi tanggungjawabnya memberikan kata-kata
semangat bagi memulihkan semangat insan tersayangnya itu.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 4 Disember 2014 @ 6:27 AM
Mohd Azijja memberi minuman
kepada Nur Shafiqa di rumah tunangnya di Kampung Wakaf Berangan.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/13773#sthash.Fpgkaeei.dpuf
No comments:
Post a Comment