Kelana Jaya: Pemain tengah
Harimau Malaya, Gary Steven Robbat mahu kekal dengan corak permainan agresif
walaupun mengakui perlu lebih berhati-hati bagi mengelak risiko menerima kad
pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2014 menentang Vietnam di Stadium
Shah Alam, Ahad ini.
Gary, 22, pemain paling muda
dalam skuad Dollah Salleh menjadi pemain paling ‘bahaya’ dalam pasukan apabila
menerima kad merah ketika seri 0-0 dengan Myanmar pada aksi pertama Kumpulan B.
Dia yang digantung satu
perlawanan ketika Malaysia tewas 2-3 di tangan Thailand turut dilayangkan kad
kuning apabila kembali beraksi sewaktu menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan
terakhir untuk mara ke separuh akhir.
“Bukan saya sengaja mahu terima
kad. Saya hanya cuba bermain agresif, cuma kadang kala mungkin terlalu agresif.
Saya tetap akan bermain seperti biasa, tapi perlu berhati-hati selepas ini,”
katanya ketika ditemui Arena Metro semalam.
Gary pemain Harimau Muda A
dilihat gandingan terbaik Safiq Rahim bagi menjana bahagian tengah selepas
Dollah membuat keputusan menukar kapten Shukor Adan ke posisi pertahanan tengah
pada aksi menentang Singapura.
Pemain kelahiran Kedah ini
nampak perlahan dalam pergerakannya, namun mampu mengawal bola dengan baik bagi
membuka ruang kepada rakan sepasukan untuk bertahan dan melancarkan serangan.
Gary yang memiliki pengalaman
beraksi di Piala AFF 2012 percaya ini peluang terbaik untuk Harimau Malaya mara
ke final selepas terkandas di separuh akhir dua tahun lalu.
“Kita sudah susah payah layak
ke separuh akhir dan tidak boleh sia-siakan peluang ini. Kita perlu menang di
sini dan bertahan dengan baik pada perlawanan kedua di Hanoi nanti,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:26 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/13786#sthash.IxkmsXl7.dpuf
No comments:
Post a Comment