Kencing Manis
Penyakit kencing manis juga
dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit ini ialah suatu keadaan yang mana
terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat
rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh
pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak
dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran
glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan
lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak. Ia juga menghalang
pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati.
Untuk Informasi Lanjut, Sila
Klik Sini.....
Diabetes Primer
Diabetes Sekunder
Simptom / Gejala
Rawatan
Pemakanan
Senaman
Insulin
Tablet anti-diabetes
Hipoglisemia
Komplikasi
Komplikasi Kesan akhir
Pengawalan paras glukosa darah
Pemantauan glukosa darah
Keperluan penjagaan diri
pesakit kencing manis
Penjagaan kulit
Penjagaan kaki
Penjagaan mata
Pesakit kencing manis
haruslah:-
Penjagaan dental (gigi)
Penyakit kencing manis juga
boleh dikelaskan kepada:
Diabetes Primer
Jenis I (IDDM)
Jenis ini dikenali sebagai
Diabetes Mellitus Bergantung Insulin kerana insulin yang dihasilkan oleh badan
adalah sangat rendah dan tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bentuk ini
lebih kerap ditemui dalam kanak-kanak dan remaja. Hanya 10% daripada pesakit
kencing manis yang berusia lebih daripada enam puluh lima tahun menghidapi
penyakit kencing manis jenis ini. Keadaan ini boleh dirawat dengan pengawalan
pemakanan dan melalui suntikan insulin.
Jenis II (NIDDM)
Jenis ini juga juga dikenali
sebagai Diabetes Mellitus Tak Bergantung Insulin. 90% daripada kes penyakit
kencing manis tergolong dalam jenis ini. Dalam Diabetes Jenis II, pankreas
menghasilkan insulin yang tidak mencukupi. Ia biasanya berlaku dalam orang yang
berusia lebih daripada 40 tahun. Sebilangan besar pesakit (lebih kurang 85%)
adalah gemuk. Keadaan ini biasanya bersifat keturunan. Rawatan biasanya terdiri
daripada pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan
ubat. Sesetengah pesakit juga memerlukan suntikan insulin.
Diabetes Sekunder
Penyakit kencing manis ini
disebabkan oleh penyakit pankreas yang lain, peningkatan permintaan terhadap
fungsi pankreas yang tidak normal, seperti dalam penyakit kencing manis semasa
mengandung, dan yang disebabkan oleh ubat dan toksin. Lebih kurang 20 hingga
25% wanita yang mengalami diabetes gestasi, atau penyakit kencing manis semasa
mengandung, akan mengalami penyakit kencing manis apabila usia mereka telah
meningkat. Rawatan bagi diabetes gestasi adalah melalui pengawalan pemakanan sahaja
atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat.
Simptom / Gejala
Simptom-simptom yang paling
biasa ialah:
v Kerap membuang air kencing
v Sentiasa berasa dahaga
v Selera makan meningkat
v Letih
v Hilang berat badan
v Jangkitan kulit yang kerap,
misalnya jangkitan kulat pada kawasan kemaluan
v Luka yang lambat sembuh
v Kadang-kadang penglihatan
menjadi kabur
Kebanyakan orang mempunyai satu
atau lebih simptom tetapi ada orang yang tidak mempunyai sebarang simptom.
Rawatan
Penyakit kencing manis biasanya
ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing
manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada
paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang
dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki
dan kulit. Cara mengawal penyakit kencing manis termasuklah pemakanan,
penjagaan berat badan, senaman dan ubat.
Pemakanan
Pengawalan pemakanan adalah
penting untuk mengawal diabetes. Pemakanan yang betul bukan setakat mengelakkan
makanan dan minuman yang manis sahaja.
v Pesakit kencing manis harus
makan 3 kali sehari setiap hari pada masa yang
ditetapkan. Pesakit tidak patut tertinggal
masa makan.
v Makanan yang mengandungi
kandungan fiber yang tinggi seperti roti jagung, mi,
oat, biskut kraker yang tidak dimaniskan,
chickpea, lentil dan sayur-sayuran harus
diambil.
v Makanan yang mengandungi
kandungan gula yang tinggi, misalnya gula yang telah
diproses, coklat dan madu harus dielakkan.
v Pengambilan lemak tepu harus
dikekalkan pada paras minimum kerana
peningkatan pengambilan lemak akan
meningkatkan risiko serangan penyakit
jantung. Elakkan daripada
menggorengmakanan, sebaliknya, pangganglah
makanan anda.
v Pengambilan garam dan makanan
yang masin harus dikurangkan. Elakkan
makanan seperti kerepek dan kacang tanah.
v Makanan pesakit kencing manis
harus dirancang terlebih dahulu. Makanan haruslah
seimbang dan kandungan kalori dalam makanan
haruslah tetap. Ini bertujuan untuk
memastikan terdapat beban glukosa yang
tetap untuk dikendalikan oleh badan.
v Pengambilan kalori yang
terkawal adalah baik untuk mengekalkan berat badan yang
normal.
v Pengambilan alkohol perlu
dikekalkan pada paras minimum atau dielakkan kerana
alkohol akan mengubah paras glukosa darah.
Pesakit kencing manis harus
mengamalkan pemakanan yang seimbang. Mereka boleh memakan makanan yang dimakan
oleh seisi keluarga, tetapi dalam jumlah yang sederhana, dan mengelakkan
gula-gula dan makanan manis yang lain. Mereka tidak perlu membeli ‘makanan
diabetes’ yang khas kerana makanan ini adalah mahal dan tidak membawa banyak
manfaat. Selain itu, terdapat formula nutrisi yang khas untuk pesakit kencing
manis yang tidak dapat mematuhi gaya pemakanan yang disyorkan. Walau
bagaimanapun, adalah penting untuk mengingat bahawa pemakanan yang sihat ialah
kunci kepada diet seorang pesakit kencing manis.
Senaman
Lebih kurang 50% daripada
pesakit kencing manis dengan diabetes jenis II mempunyai berat badan yang
terlalu tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang ideal dengan
senaman yang konsisten. Senaman membolehkan insulin untuk bertindak dengan lebih
baik dan mengekalkan badan yang cergas dan pesakit menjadi lebih sihat. Senaman
yang ideal bagi pesakit kencing manis harus dirancang selepas berjumpa dengan
doktor, supaya komplikasi seperti hipoglisemia (kurang gula darah) dapat
dielakkan. Berundinglah dengan doktor yang merawat pesakit itu sebelum
memulakan sebarang program senaman.
Insulin
Insulin ialah ubat pilihan bagi
diabetes jenis I. Insulin mula dihasilkan untuk rawatan penyakit kencing manis
pada tahun 1921. Pada masa itu, bentuk insulin yang ada cuma jenis bovin
(daripada lembu) dan porsin (daripada khinzir). Kini, terdapat bentuk sintetik
yang serupa dengan insulin yang dihasilkan dalam badan. Insulin ini dihasilkan
daripada yis dan bakteria. Insulin hanya diberikan melalui suntikan kerana ia
boleh dimusnahkan dalam perut jika diberi melalui mulut. Doktor akan menentukan
jenis ubat yang perlu diambil. Sekiranya insulin diberikan, doktor akan
merancang program rawatan yang khas untuk setiap pesakit. Pengkelasan insulin
adalah berdasarkan:
v Masa mula tindak (ia
berkaitan dengan kelajuan serapan insulin ke dalam aliran
darah).
v Kesan puncak. Masa insulin
mencapai kesan maksimum.
v Jangka masa tindak. Tempoh
masa insulin bertindak.
Tablet anti-diabetes
Tablet ini tidak mengandungi
insulin tetapi mengandungi ubat yang merangsang pankreas untuk menghasilkan
lebih banyak insulin, atau membantu sel untuk menggunakan insulin yang sedia
ada dengan lebih berkesan. Selepas mula mengambil ubat, doktor harus diberitahu
sekiranya terdapat sebarang kesan samping seperti serangan paras gula darah
rendah, cirit-birit atau ruam. Terdapat beberapa kelas ubat anti-diabetes,
iaitu:
v Sulfonilurea – ubat ini
merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak
insulin. Misalnya chlorpropamide, glibenclamide,
glipizide.
v Ubat lain yang merangsang
pengeluaran insulin – ubat ini seperti repaglinide
merangsang pankreas untuk menghasilkan
insulin tetapi adalah terutamanya
berkesan untuk mencegah paras glukosa yang
tinggi selepas makan kerana ubat
ini bertindak dengan cepat dan
dimetabolismakan dengan cepat.
v Biguanid – ubat ini
mengurangkan penghasilan glukosa dalam hati dan juga
menjadikan tisu lebih sensitif terhadap
insulin, contohnya metformin.
v Thiazolidinedion – ubat ini
meningkatkan sensitiviti insulin dengan mengaktifkan
gen-gen tertentu yang terlibat dalam
pembentukan lemak dan metabolisma
karbohidrat. Misalnya, troglitazone,
rosiglitazone
v Perencat alfa-glukosaidase –
ubat ini mengurangkan penyerapan glukosa dalam
usus kecil. Misalnya acarbose.
Hipoglisemia
Hipoglisemia atau serangan
akibat paras glukosa darah yang rendah boleh berlaku ketika menjalani rawatan
penyakit kencing manis. Keadaan ini biasanya berlaku kerana:
v Makan terlalu sedikit.
v Masa makan yang tidak tetap.
v Terlalu banyak insulin atau
ubat anti-diabetes
v Tidak mengambil makanan yang
mencukupi sebelum bersenam atau senaman yang terlalu
berat.
v Penyakit misalnya cirit-birit
Penyesuaian pada rawatan dibuat
adalah amat bergantung kepada gaya hidup pesakit. Ini adalah bertujuan untuk
mengelakkan paras glukosa darah daripada jatuh sehingga di bawah paras normal
dan mencetuskan serangan hipoglisemia.
Simptom
Simptom hipoglisemia adalah:
v Kurang tumpuan atau pemikiran
yang keliru
v Mudah marah
v Pening
v Loya dan lemah
v Berpeluh, pucat dan kulit
yang sejuk
v Penglihatan yang kabur
Rawatan ialah pengambilan gula
dalam bentuk tablet glukosa, gula-gula atau minuman manis melalui mulut dengan
serta-merta. Masa pemulihan biasanya adalah amat cepat. Walau bagaimanapun,
sekiranya simptom itu masih ada, pesakit harus dibawa ke hospital dengan cepat
untuk rawatan secepat mungkin.
Komplikasi
Semua bentuk diabetes, jika
tidak dikawal, boleh mengakibatkan komplikasi yang melibatkan beberapa organ
dan bahagian tubuh. Antara komplikasi yang paling teruk adalah komplikasi yang
melibatkan buah pinggang, mata dan salur darah. Adakalanya, pengesanan awal
adalah sukar kerana sesetengah komplikasi tidak mempunyai simptom yang nyata
pada tahap awal.
Komplikasi Kesan akhir
Retinopati Penglihatan yang
terjejas dan boleh mengakibatkan mata menjadi buta. Neuropati Kerosakan saraf
yang boleh menyebabkan rasa sakit atau kehilangan deria pada tangan dan kaki.
Komplikasi mungkin memerlukan amputasi (pemotongan) kaki. Pergerakan salur
pencernaan terganggu dan boleh menyebabkan cirit-birit dan/atau sembelit.
Nefropati Penyakit buah pinggang yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang
dan kematian awal. Kecederaan salur darah besar Kecederaan ini boleh
mengakibatkan serangan jantung, strok atau kekurangan bekalan darah ke anggota
bawah. Adalah sangat penting untuk mengawal penyakit kencing manis. Seseorang
pesakit kencing manis boleh mengalami lebih daripada satu komplikasi sekiranya
penyakitnya tidak dikawal untuk jangka masa yang lama.
Pengawalan paras glukosa darah
Dalam pesakit kencing manis,
pemantauan berkala paras glukosa darah adalah penting, kerana ini akan
menunjukkan sama ada rawatan adalah mencukupi atau perlu diperbetulkan. Paras
glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit
kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau
bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras
glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang
boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang
rendah. Dengan nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir
pada orang itu. Ujian toleransi glukosa boleh dilakukan setelah mengukur paras
glukosa darah selepas berpuasa. Ujian darah dilakukan 2 jam selepas meminum
suatu larutan glukosa yang pekat. Dalam orang yang normal, terdapat peningkatan
glukosa darah pada mulanya dan paras ini akan kembali menjadi normal dalam masa
2 jam. Dalam pesakit kencing manis, terdapat peningkatan yang tinggi pada
mulanya dan paras ini kekal tinggi (11.1 mmol/L atau lebih) selepas 2 jam. Satu
ujian lain yang boleh dilakukan ialah pengukuran HBA1c atau ‘ujian hemoglobin
terglikosilat’. Ujian ini menunjukkan paras glukosa darah bagi 6 hingga 8
minggu sebelum ujian itu dilakukan. Ia memberikan petunjuk bagi kawalan
penyakit kencing manis bagi tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan paras
glukosa darah yang hanya memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing
manis pada masa ujian.
Pemantauan glukosa darah
Paras glukosa dalam badan boleh
ditentukan melalui ujian air kencing. Walau bagaimanapun, ujian darah
memberikan nilai yang lebih tepat. Paras glukosa darah boleh diuji di rumah
dengan menggunakan meter glukosa darah yang mudah. Doktor atau ahli farmasi
anda boleh dihubungi bagi mendapatkan nasihat mengenai jenis meter dan cara
menggunakan meter tersebut. Ujian glukosa darah adalah sangat mudah. Pesakit
kencing manis disyorkan untuk menguji darah mereka secara berkala 2-3 kali
seminggu atau pada bila-bila masa pesakit mengalami simptom hipoglisemia.
Bacaan harus direkodkan dan ditunjukkan kepada doktor semasa lawatan ke klinik
yang seterusnya. Sekiranya pada bila-bila masa didapati bahawa bacaan adalah
terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa dengan doktor yang
akan memberikan nasihat mengenai cara-cara untuk mengekalkan paras glukosa darah
di dalam had normal dengan membetulkan ubat, diet atau program senaman.
Keperluan penjagaan diri
pesakit kencing manis
Pesakit kencing manis perlu
mengikuti diet yang dirancang khas dan program senaman serta mengambil ubat
yang diberikan mengikut masa. Selain itu, disebabkan pesakit kencing manis
mudah mendapat komplikasi tertentu, mereka harus mengambil langkah
berjaga-jaga. Tumpuan khas harus diberikan kepada kawasan yang paling
bermasalah iaitu kulit, kaki, mata dan gigi.
Penjagaan kulit
Pesakit kencing manis perlu
menjaga kulit mereka dengan baik kerana mereka mudah mendapat jangkitan kulit.
Mereka haruslah sentiasa menjaga kebersihan kulit. Luka kecil atau calar sahaja
pun perlu diberikan tumpuan segera dan dirujuk kepada doktor sekiranya tidak
pulih. Langkah-langkah yang perlu diambil adalah:
v Gunakan agen pembersih yang
bersifat asid, dengan pH 5.5. Ini memastikan fungsi
perlindungan kulit yang semula jadi
dikekalkan.
v Agen pembersih perlulah
lembut, kerana agen pembersih yang kuat akan menyebabkan
iritasi kulit.
v Gunakan air suam untuk
mencuci.
v Agen pembersih yang beralkali
haruslah dielakkan, terutamanya jika kulit adalah gatal atau
terdapat inflamasi.
v Elakkan daripada menggaru
kulit kerana kulit yang pecah akan menggalakkan jangkitan.
v Semasa mandi, berikan tumpuan
kepada kawasan ketiak, kemaluan dan kelengkang,
lipatan kulit dan kawasan di antara jari
kaki.
v Selepas mandi, elakkan
kekeringan kulit dan gunakan losen pelembap untuk mengekalkan
kelembapan kulit.
Penjagaan kaki
Pesakit kencing manis harus
menjaga kaki mereka dengan baik kerana mereka mungkin tidak merasai sebarang
luka atau ulser disebabkan oleh kekurangan deria di kawasan itu.
v Pesakit kencing manis harus
membersihkan kaki mereka setiap hari dan mengeringkan
kaki dengan sempurna, khususnya kawasan di
antara jari kaki.
v Bagi kekeringan kulit,
pesakit kencing manis haruslah membubuhkan sedikit krim
pelembap.
v Kuku jari kaki harus dipotong
lurus untuk mengelakkan kecederaan kepada kulit.
v Kasut haruslah selesa dan
tidak terlalu ketat. Pesakit kencing manis haruslah memastikan
bahagian dalam kasut bebas daripada
sebarang gerigit atau objek kecil sebelum memakai
kasut.
v Kaki haruslah diperiksa
setiap hari bagi luka, calar atau ulser.
v Jangan membubuh sebarang agen
kimia pada kaki seperti plaster ketuat atau pembuang
kalus (kulit tebal pada kaki)
kerana bahan-bahan ini
mengandungi asid yang boleh menyebabkan iritasi kulit yang seterusnya boleh
menyebabkan ulser.
Penjagaan mata
Penyakit mata seperti katarak,
glaukoma dan kebutaan akibat retinopati adalah lebih kerap berlaku dalam
pesakit kencing manis. Terdapat kejadian katarak yang lebih tinggi di kalangan
pesakit kencing manis dan perkembangan penyakit adalah lebih cepat. Glaukoma,
yang juga biasa berlaku pada pesakit kencing manis, harus didiagnos awal.
Rawatan cepat dapat meminimakan kerosakan pada saraf optik dan kehilangan
penglihatan. Salah satu daripada penyebab utama kebutaan dalam pesakit kencing
manis ialah retinopati. Semakin lama seseorang pesakit menghidapi penyakit
kencing manis, dan terutamanya jika tidak dirawat dengan betul atau dikawal,
risiko retinopati diabetik meningkat.
Pesakit kencing manis
haruslah:-
v Pergi menjalani pemeriksaan
kesihatan setiap tahun.
v Memeriksa tekanan darah
secara berkala.
v Berjumpa dengan pakar mata
sekiranya terdapat sebarang masalah penglihatan.
Penjagaan dental (gigi)
Pesakit kencing manis harus
berjumpa dengan doktor gigi sekali setiap enam bulan. Sebarang luka atau lesi
dalam mulut termasuklah penyakit gusi harus dikenalpasti dan rawatan harus
diberi dengan cepat. Sebaik sahaja seseorang didapati menghidapi penyakit kencing
manis, dia seharusnya mengubah gaya hidupnya dan lebih bertanggungjawab
terhadap kesihatan dirinya.
SUMBER- http://www.efarmasi.com.my/contents/selfcare/selfcare.asp?sfcr=kencingmanis.htmCopyright
| Disclaimer
Copyright © 2001, GS Vision Sdn
Bhd, MalaysiaAll Rights Reserved
No comments:
Post a Comment