Ad

Tuesday, 15 October 2013

'Satu mata amat bernilai'

AZAMUDDIN (kiri) dicabar pertahanan Bahrain, Waleed Al Hayam pada aksi di Shah Alam malam tadi.


SKUAD Harimau Malaya memastikan slot automatik Piala Asia 2015 masih berada dalam genggaman selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi kelayakan Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Norshahrul Idlan Talaha muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan Harimau Malaya, sekali gus memadamkan kelebihan awal Bahrain yang diperoleh menerusi jaringan Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman.
Dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, Harimau Malaya terlebih dulu menguji benteng pertahanan Bahrain menerusi percubaan pemain sayap lincah, Azamuddin Akil pada minit ke-20.
Begitupun, percubaan Azamuddin berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Bahrain, Sayed Mohamed Jaafar.
Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim hampir berjaya membuka tirai jaringan, namun percubaannya dinafikan Sayed pada minit ke-42.
Berselang tiga minit kemudian, Harimau Malaya dihukum apabila Abdulla Ahmed meletakkan Bahrain di depan menerusi jaringan dari luar kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya kembali mengatur serangan dan mengasak kubu pertahanan Bahrain bagi memburu gol penyamaan.
Usaha keras mereka akhirnya berbaloi apabila Norshahrul berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70.
Hasil satu serangan ke kubu lawan, Norshahrul bijak melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan Sayed.
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, beliau sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.
Katanya, jika mereka turun dengan keyakinan serta kesungguhan yang tinggi, tidak mustahil anak-anak buahnya mampu mencapai keputusan positif.
"Saya memuji kesungguhan semua pemain dan jika mereka turun dengan keyakinan, pasti mereka mampu melakar keputusan positif.
"Satu mata sangat bernilai bagi kami dan kami perlu bekerja keras sebelum bertandang ke Bahrain nanti," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/16.10.13

Gladiators tak kecut perut


Amirizwan Taj Tajuddin (tengah) mempamer aksi cemerlang bersama ATM musim ini, dan dia mahu meneruskan prestasi baik itu dengan membawa pasukannya ke final Piala Malaysia.
KUALA LUMPUR - Biarpun sedar mereka bakal berdepan antara pasukan terbaik dalam liga tempatan yang turun dengan reputasi juara treble, namun faktor tersebut tidak sedikitpun membuatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kecut perut apabila berdepan Kelantan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Selayang, Jumaat ini.
Anak-anak buah B. Sathianathan itu sentiasa menghormati Kelantan sebagai lawan yang kuat dan kental, tetapi mereka juga membawa keyakinan sendiri apabila menerima kunjungan The Red Warriors di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Menurut pertahanan The Gladiators, Amirizwan Taj Tajuddin, pengalaman dikecewakan anak-anak buah Bojak Hodak itu dalam final Piala Malaysia tahun lalu masih dirasai oleh sebahagian besar rakan-rakannya, justeru keinginan untuk menembus kekalahan tersebut amat tinggi, sekali gus bakal menyuntik semangat juang yang luar biasa.
Malah, semangat juang hebat yang dimiliki ATM adalah perkara yang paling digeruni lawan mereka sepanjang kempen Piala Malaysia 2013.
Biarpun dibarisi ramai 'kuda tua' dan tidak diberi harapan tinggi di awal saingan, namun semangat juang itulah yang telah membawa The Gladiators ke separuh akhir.
"Memang Kelantan adalah lawan yang cukup kuat dan berbahaya, tetapi kami sudah masak dengan corak permainan dan taktikal yang selalu digunakan oleh mereka.
"Kedua-dua pasukan sudah banyak kali bertemu sejak tahun lalu, jadi kami cukup bersedia.
"Lagipun, ATM pernah memecah rekod tanpa kalah Kelantan di Kota Bharu, jadi kemenangan itu telah memberi keyakinan psikologi buat pemain-pemain kami. Apa saja boleh berlaku pada separuh akhir nanti, tidak mustahil kami boleh melakar kejutan.
"Walaupun, semua orang menganggap Kelantan sebagai pilihan untuk layak ke akhir, tetapi kami juga sudah bersedia untuk memberikan kejutan kami sendiri dan menempah tiket final Piala Malaysia," kata Amirizwan ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_06/Gladiators-tak-kecut-perut#ixzz2hqCQncNg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Saya cuma mahu menikmati perlawanan, tidak rugi apa-apa'


Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei bakal menerima hadiah hari jadi paling istimewa sekiranya berjaya menjuarai Terbuka Denmark minggu ini, namun jaguh No. 1 dunia itu menegaskan, menang atau kalah bukan perkara utama yang bermain dalam fikirannya di Odense kerana dia hanya turun ke gelanggang untuk menikmati permainan.
Buat kali pertama Chong Wei, yang genap 31 tahun pada 21 Oktober depan mengakui, dia tidak langsung memberi tekanan atau meletakkan sebarang sasaran walaupun beraksi pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier, malah turun dengan reputasi sebagai penyandang juara.
Chong Wei, yang juga pernah menjuarai kejohanan bernilai AS$400,000 (RM1.2 juta) itu pada 2005 dan 2006 berkata, tumpuannya hanya menghadapi lawan satu demi satu, bukan berfikir terlalu jauh sehingga perlawanan akhir.
"Saya hanya mahu menikmati perlawanan di sini, kalah atau menang bukan perkara yang terlalu menganggu tumpuan saya.
"Tetapi bila saya kata macam itu, ia bukan bermakna saya tidak berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi Terbuka Denmark. Fizikal dan tumpuan saya semua dalam keadaan terbaik, dalam kata lain saya memang cukup bersedia untuk menghadapi satu pertandingan, cuma saya tidak memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri.. itu saja.
"Saya rasa, mungkin pada peringkat sekarang sudah tiba masanya untuk saya menikmati setiap perlawanan. Contohnya, sehingga hari ini, saya belum tahu siapa yang akan saya lawan di pusingan pertama, tetapi saya tidak kisah, saya main sahaja," ujar Chong Wei ketika dihubungi di Odense, Denmark.
Kata Chong Wei lagi, sudah tentu kemenangan akan memberi hadiah hari jadi paling istimewa buatnya, namun andai gagal menamatkan cabaran sebagai juara, ia tetap tidak mengganggu dirinya kerana dia akan meneruskan perancangan untuk menyambung ulang tahun bersama keluarga tercinta di Paris.
Chong Wei, naib juara Olimpik dua kali mengakui, ulang tahun kelahirannya kali ini agak istimewa kerana bakal diraikan bersama keluarga tercinta, termasuk insan baharu dalam hidupnya, Kingston, anak lelaki sulungnya yang dilahirkan pada April lalu.
Jika berjaya melepasi halangan pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun hari ini, Chong Wei dijadual menentang pemenang di antara bintang remaja tuan rumah, Viktor Axelsen atau jaguh Jerman, Marc Zwiebler.
Selain Chong Wei, cabaran perseorangan lelaki Malaysia di Odense akan turut dipikul juara Terbuka Perancis, Liew Daren dan juara baharu Terbuka Kuala Lumpur, Chong Wei Feng.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_04/Saya-cuma-mahu-menikmati-perlawanan-tidak-rugi-apa-apa#ixzz2hqBBC2hU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wee Wern iringi kemaraan Nicol


LOW Wee Wern (depan) mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas menewaskan Amanda Sobhy, semalam.
KUALA LUMPUR - Bintang muda negara, Low Wee Wern meneruskan rentak baik pada kejohanan skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila mengiringi jejak jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David melangkah ke suku akhir di Philadelphia, semalam.
Pemain No. 7 dunia itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan 41 minit sebelum mengetepikan bintang muda tuan rumah, Amanda Sobhy 2-11, 11-6, 11-9, 11-5.
Wee Wern yang dikecewakan oleh pemain No. 3 dunia, Raneem El Weleily pada pusingan pertama tahun lalu, berpeluang untuk menebus kekalahannya kepada jaguh Mesir itu apabila kedua-duanya bertemu sekali lagi di suku akhir, hari ini.
Raneem, terdahulu melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan rakan senegara, Omneya Abdel Kawy 11-7, 5-11, 11-6, 8-11, 1-9.
Nicol pula hanya memerlukan 36 minit untuk menewaskan Camille Serme dari Perancis 11-9, 11-5, 11-4 pada pusingan kedua yang berlangsung di Drexel Kline & Specter Squash Center, Universiti Drexel.
Pada suku akhir hari ini, jaguh No.1 dunia itu dijadual menentang pilihan kelapan, Madeline Perry dari Ireland yang meraih kemenangan ke atas Line Hansen dari Denmark 7-11, 11-2, 11-3, 11-8.
"Nicol banyak membantu saya untuk beraksi di gelanggang kaca. Kemenangan ke atas Sobhy adalah hasil daripada tunjuk ajarnya.
"Jika anda tersilap langkah dalam aksi di gelanggang kaca sebegini ia akan menghukum anda.
"Nicol telah menasihatkan saya agar bermula dengan lebih pantas untuk membolehkan saya mendapatkan mata dan semua itu berjaya membantu saya," kata Wee Wern.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_08/Wee-Wern-iringi-kemaraan-Nicol#ixzz2hqAMAwK4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tindakan 'berani mati' KOM

LEE Hup Wei berdepan risiko terlepas Sukan SEA andai tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik, hujung minggu.
KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan 'berani mati' apabila tetap mewajibkan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang telah layak secara merit ke Sukan SEA untuk beraksi dalam pemilihan, hujung minggu ini.
Ketika ini, ada lima peserta lompat tinggi telah melepasi kelayakan Temasya Myanmar sedangkan hanya dua atlet dibenarkan bertanding.
Hup Wei mengetuai senarai tersebut bersama S. Navinraj, Nauraj Singh, A. Kavee Alagan dan Mohd. Azly Ghazali.
KOM mewajibkan semua atlet berkenaan bertanding pada Terbuka Malaysia, Ahad ini untuk menentukan dua peserta yang akan meraih tiket ke Myanmar.
Seandainya Hup Wei gagal menempatkan diri dalam kalangan dua terbaik pada saingan tersebut, bermakna dia bakal terlepas tempat ke Sukan SEA buat kali pertama. Dan, jika itu berlaku, ia juga akan menggugat peluang Malaysia untuk mempertahankan emas.
Hup Wei tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas sejak kali pertama melakukannya pada 2007, malah gelaran acara lompat tinggi lelaki tidak pernah terlepas daripada genggaman Malaysia sejak 1997.
Loo Kum Zee meguasainya dari 1997 hingga 2005, sebelum Hup Wei mengambil alih dominasi pada tiga temasya berikutnya.
"Saya ada terfikir juga (apa yang akan berlaku kalau gagal dalam pertandingan ini) tetapi saya akur dan hanya buat seperti yang disuruh.
"Latihan saya juga tetap berjalan seperti biasa biarpun ketika ini telah layak secara merit. Sekarang saya perlu berusaha sebaiknya untuk mendapatkan tempat ke Sukan SEA tahun ini.
"Mungkin ada beberapa perkara lagi yang perlu saya perbaiki menjelang kejohanan hujung minggu ini terutama berkaitan teknik lompatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hup Wei memegang catatan terbaik musim ini mengatasi empat pencabar utamanya iaitu 2.21 meter.
Ketika ditanya siapakah yang mampu menjadi pencabar utama untuk merebut slot ke Sukan SEA, atlet kelahiran Dengkil itu berkata, Nauraj Singh dan Ahmad Najwan perlu diberi perhatian serius.
"Dua atlet tersebut mempunyai kelebihan tersendiri serta kekuatan yang sukar untuk diramal.
"Bagi saya, pada Terbuka Malaysia nanti hanya mereka yang mampu membuat catatan ketinggian 2.15m ke atas saja berpeluang untuk mendapatkan slot ke Sukan SEA," katanya.RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_03/Tindakan-berani-mati-KOM#ixzz2hq9agSM0 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada lagi Sukan Olimpik buat Mun Yee

Leong Mun Yee (kiri) bersama Pandalela Rinong ketika memanaskan badan sebelum melakukan latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB
KUALA LUMPUR - Tiada lagi Sukan Olimpik buat bintang terjun negara, Leong Mun Yee apabila dia memutuskan untuk bersara daripada arena antarabangsa pada 2015, iaitu setahun sebelum Temasya Rio 2016 berlangsung.
Menurut Mun Yee, dua tahun daripada sekarang adalah tempoh maksimum yang diletakkan kepada dirinya untuk aktif dalam sukan terjun kerana dia sudah mengambil keputusan untuk berehat selepas itu.
Katanya, pada 2015 usianya sudah mencecah 30 tahun, justeru adalah realistik buatnya untuk berundur sebelum mencapai usia 31 tahun.
Biarpun nasib Mun Yee tidak sebaik rakan sepasukan, Pandelela Rinong yang berjaya membawa pulang pingat Olimpik pada penampilan di London 2012, namun Mun Yee percaya, dia sudah memberi sumbangan terbaik buat negara sepanjang bergelar atlet kebangsaan.
"Saya meletakkan sasaran untuk terus mewakili negara dalam sukan terjun sehingga 2015 sahaja, ini adalah tempoh terbaik memandangkan usia saya juga sudah genap 30 tahun ketika itu.
"Selepas itu, kemungkinan besar jika tiada apa-apa, saya akan membuat keputusan untuk bersara," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kata Mun Yee lagi, keputusan tersebut adalah yang terbaik buat dirinya kerana hanya dengan cara itu dia dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap masa depan dan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tambah Mun Yee, pada masa ini dia belum mempunyai sebarang perancangan apakah mahu memberi sumbangan kepada sukan terjun dengan bertindak menjadi jurulatih, baik di dalam negara mahupun luar negara.
Malah, atlet kelahiran Ipoh, Perak itu juga mengakui, belum mempunyai sebarang perancangan lain.
Tegas Mun Yee, buat masa ini, dia hanya memberi tumpuan kepad Sukan SEA XXVII di Myanmar, Disember ini, di mana dia bakal mengetuai cabaran pasukan negara bersama Pandelela.
Turut membawa cabaran Malaysia di Myanmar adalah Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yee, Nur Dhabitah Sabri, Loh Zhiayi, Ooi Tze Liang, Muhd. Amsyar Azman, Chew Yi Wei, Danial Sabri dan Muhd. Nazreen Abdullah.
"Saya akan berlatih di Guangzhou Sports Institute di China bulan ini dalam persiapan terakhir sebelum menghadapi Sukan SEA.
"Ketika ini, saya mahu memberi tumpuan kepada apa yang mendatang dalam tempoh dua tahun ini, kemudian baharulah saya fikirkan tentang perancangan lain.
"Tahun depan, ada dua kejohanan besar menanti, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, jadi sebaiknya saya fokus kepada persiapan itu sebelum berfikir lebih jauh.
"Apa pun, saya sudah menetapkan sasaran untuk berundur pada 2015," ujarnya lagi.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_05/Tiada-lagi-Sukan-Olimpik-buat-Mun-Yee#ixzz2hq8IhiAi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bahrain tak sekuat mana

Pemain Bahrain meraikan gol pembukaan mereka dalam saingan di Stadium Shah Alam yang berkesudahan seri 1-1.
SHAH ALAM - Tidak menang, namun ia masih mencukupi buat Harimau Malaya memastikan peluang ke Australia pada 2015 masih ada selepas mengikat pendahulu Kumpulan D, Bahrain 1-1 dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, semalam.
Ketinggalan pada separuh masa pertama melalui gol Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman pada minit ke-45, Norshahrul Idlan Talaha bagaimanapun memastikan impian Malaysia terus bernyala melalui jaringan penyamaan pada minit ke-70.
Kejayaan mengutip mata itu tetap dianggap cemerlang walaupun sebenarnya anak-anak buah Datuk K. Rajagobal mampu bergelar pemenang jika lebih bijak memanfaatkan peluang yang terhidang ketika lawan terkapai-kapai keletihan pada 10 minit terakhir permainan.
Sementara Bahrain pula dilihat tidaklah sehebat seperti mana digembar-gemburkan dengan Harimau Malaya jelas mampu menyaingi mereka daripada segenap aspek.
Selepas perlawanan ketiga semalam, Malaysia kekal berada di tangga ketiga dengan memungut empat mata, manakala Bahrain kekal selaku pendahulu apabila meraih tujuh mata diikuti Qatar, enam mata.
Malaysia bakal kembali berdepan Bahrain di Manama pada 15 November depan bagi perlawanan keempat, dan mereka wajib mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata jika mahu terus berada dalam saingan.
Pada perlawanan semalam, Rajagobal tidak berani menurunkan Mahali Jasulli yang baru pulih daripada kecederaan, sebaliknya menggunakan khidmat K. Reuben di bahagian bek kanan sementara Khairul Fahmi Che Mat menjadi pilihan untuk mengawal gawang.
Harimau Malaya memberikan sedikit ancaman pada minit ke-21 melalui gerakan solo Azamuddin Akil namun percubaannya yang mengenai salah seorang pertahanan Bahrain, dapat diselamatkan Sayed Mohamed Jaafar.
Melihatkan jentera serangan yang kurang bermaya, jurulatih Bahrain, Anthony Hudson, melakukan pertukaran memasukkan Mohamed Tayeb Alalawi menggantikan Sami Mohamed Saeed Alhusaini pada minit ke-35.
Ketua pasukan, Safiq Rahim, melepaskan peluang terbaik meletakkan tuan rumah memimpin perlawanan apabila rembatannya terlalu lemah di hadapan pintu gol Bahrain walaupun tidak dicabar oleh mana-mana pemain lawan.
Barisan pertahanan Harimau Malaya tertidur seketika pada penghujung babak pertama yang membuka ruang kepada Abdulla Ahmed Saleh melepaskan rembatan menarik yang gagal dijangkau Khairul Fahmi bagi gol pembukaan Bahrain.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_02/Bahrain-tak-sekuat-mana#ixzz2hq5Ah5uF
© Utusan Melayu (M) Bhd