Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN
HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
Najib Tun Razak mengalungkan
pingat kepada Lee Chong Wei yang menewaskan Tommy Sugiarto dalam perlawanan
akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur semalam. - Utusan/Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia,
Datuk Lee Chong Wei berjaya memenuhi matlamatnya untuk merangkul gelaran
Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh semalam, tetapi
kemudian memberi isyarat dia mungkin bersara pada Disember depan.
Skuad negara mengutip dua
kemenangan pada hari terakhir Siri Super Premier yang berlangsung di Stadium
Putra, Bukit Jalil semalam. Satu lagi kejayaan diraih oleh pasangan beregu
lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah, tetapi peminat badminton terpaksa bermuram
apabila Chong Wei menyatakan hasratnya untuk bersara ketika sidang akhbar.
Chong Wei tidak mempunyai
masalah untuk merangkul kemenangan selepas mudah mengalahkan pemain Indonesia,
Tommy Sugiarto 21-19, 21-9 dalam tempoh 47 minit tetapi kenyataannya ingin
bersara lebih mencuri tumpuan.
"Mungkin ini Terbuka
Malaysia terakhir yang saya sertai, selepas Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea
Selatan) Oktober ini, saya tidak tahu akan terus bermain atau tidak. Jika
keadaan saya tidak bagus saya akan bersara tahun ini pada Disember,"
katanya kepada wartawan.
Katanya, dia akan menilai
prestasinya di Sukan Asia dan juga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan
jika masih bebas daripada kecederaan mungkin dia akan meneruskan karier seperti
biasa.
"Saya akan cuba dan
fikirkannya semula kerana kita tidak tahu bagaimana prestasi saya selepas itu.
Saya juga mempunyai banyak masalah peribadi, saya akan cuba sebaik mungkin
tetapi tunggu hingga Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia berakhir.
"Tidak ada tekanan, bagi
saya mungkin lebih kepada masalah peribadi, saya akan habiskan dulu aksi di
beberapa kejohanan besar tahun ini kerana sebelum ini saya memang tertekan.
Sekarang saya sudah mempunyai keluarga. Saya meninggalkan isteri (Datin Wong
Mew Choo) dan anak (Kingston Lee) berbulan-bulan untuk menyertai kejohanan,"
katanya.
"Saya akan cuba untuk
beraksi di Sukan Olimpik 2016 tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku
kerana tiga tahun dari sekarang adalah tempoh yang lama, biar saya habiskan
kejohanan besar yang bakal ditempuhi terlebih dahulu," katanya.
Ditanya mengenai kejuaraan
Terbuka Malaysia semalam, Chong Wei berkata, dia berasa agak tertekan sepanjang
seminggu kejohanan berlangsung kerana sangat teringin untuk muncul juara buat
kali kesepuluh.
"Selepas menang saya
berasa teruja. Walaupun pada set pertama Tommy mendahului, tetapi selepas
menang set pertama saya sudah fikir akan menang mudah di set kedua. Bukan mudah
untuk meraih kejuaraan kesepuluh, tambahan pula tahun ini (Terbuka Malaysia
berstatus) Siri Super Premier.
"Isteri dan ibu saya melihat
sendiri bagaimana muka saya begitu tertekan untuk muncul juara Terbuka
Malaysia, saya sudah cuba yang terbaik dan selepas menjadi juara saya berasa
bahu ini sungguh ringan kerana hilang tekanan," katanya.
Chong Wei membawa pulang
AS$37,500 (RM123,637) manakala Tommy pula meraih AS$19,000 (RM62,643). Hadiah
disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, pemain China, Li
Xuerui muncul juara perseorangan wanita selepas menumbangkan rakan senegara,
Wang Shixian 21-16, 21-17 untuk membawa pulang RM123,637. Dalam acara beregu
wanita, gandingan Bao Yixin-Tang Jinhua juga dari China mengetepikan pasangan
Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-19, 14-21, 21-13 untuk meraih
AS$39,500 (RM115,424).
Penguasaan negara Tembok Besar
dilengkapkan dengan kemenangan beregu campuran, Xu Chen-Ma Jin yang menumpaskan
gandingan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-11, 17-21,
21-13 untuk meraih hadiah wang tunai RM115,424.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140120/su_01/Chong-Wei-juara-kali-ke-10#ixzz2qvvg7RMy
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment