Sebahagian daripada pencari
harta karun membanjiri pantai Jurassic di Dorset, Britain, berikutan penemuan
fosil reptilia marin (gambar kecil) bernilai RM81,517 baru-baru ini. - Agensi
LONDON 20 Jan. - Pantai
Jurassic di Dorset, Britain kini dibanjiri ratusan pencari harta karun, selepas
penemuan fosil reptilia marin gergasi bernilai 15,000 pound (RM81,517) di
sebuah pulau itu pada Boxing Day, baru-baru ini.
Pencari harta karun yang datang
dari seluruh dunia itu mencari fosil sepanjang hari di pulau tersebut yang
terletak di tapak warisan dunia sepanjang 154 kilometer yang mendapat nama
sempena cenuram di situ yang terbentuk sejak 180 juta tahun dahulu.
Rangka ichthyosaur yang hampir
sempurna itu ditemukan seorang pengumpul, Alan Saxon, dari Chippenham dekat
daerah Wiltshire yang sedang dalam lawatan ke pulau itu selepas Krismas.
Fosil berukuran 1.5 meter itu
ditemukan selepas ribut kuat melanda kawasan pantai berkenaan sebelum ia
dijumpai di kaki cenuram Black Ven berhampiran perkampungan Charmouth.
Fosil reptilia marin gergasi
itu berjaya dikeluarkan selepas lebih lapan jam dan usaha tersebut turut
dibantu pencari fosil profesional, Paul Crossley yang menyifatkannya sebagai penemuan
luar biasa.
Crossley ketika ditemubual BBC
berkata, bandar pesisir pantai Lyme Regis di Dorset Barat buat masa ini menjadi
tumpuan utama pemburu fosil dengan lebih ramai orang membanjiri pantai itu
berbanding hari biasa.
Kami sering menasihati pencari
harta karun supaya datang ke pantai ketika air surut dan sentiasa berhati-hati
dengan cenuram serta lumpur, katanya. - AGENSI
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140121/lu_09/Pantai-Jurassic-jadi-tumpuan#ixzz2r1hpsQvZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment