Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan
Adam Haikal Mazrul Haizad menunjukkan isyarat bagus selepas majlis
menandatangani kontrak pelumba muda itu dengan Factory Team ART Grand Prix di
Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan bertemu Datuk Lee Chong Wei untuk
mendapatkan penjelasan daripada pemain badminton nombor satu dunia itu yang
menyuarakan hasrat untuk bersara pada hujung tahun ini.
Khairy turut menasihatkan semua
pihak supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara itu, sebaliknya
memberi ruang kepada Chong Wei untuk menilai prestasinya sendiri.
Dia cuma kata mungkin akan
bersara tetapi bergantung kepada keputusan tahun ini. Tahun ini jadual dia amat
sibuk, dia ada All England, Sukan Asia dan banyak kejohanan dunia. Saya sendiri
akan bincang perkara ini dengan dia," katanya kepada pemberita selepas
majlis Menandatangani Kontrak Factory Team Art Grand Prix bersama Pelumba
Go-Kart Muda, Adam Haikal Mazrul Haizad di sini semalam.
Selepas merangkul kejuaraan
Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh dengan menewaskan pemain Indonesia, Tommy
Sugiarto 21-19, 21-9 kelmarin, Chong Wei memberi gambaran berkemungkinan
menggantung raket pada penghujung tahun ini sekiranya prestasinya tidak berada
pada tahap terbaik.
Jaguh badminton negara itu
berkata, faktor kepenatan dan masalah peribadi menjadi punca utama yang
mendorong dia menyuarakan hasrat untuk berundur tahun ini.
Khairy turut mengulas mengenai
peletakan jawatan ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Paul Revington.
Katanya, beliau menerima
keputusan jurulatih dari Afrika Selatan itu dan mengucapkan terima kasih atas
segala usaha yang telah dilakukannya selama ini.
Ini merupakan kali kedua
pengendali dari Afrika Selatan itu membuat keputusan meletakkan jawatan selepas
kali pertama dilakukannya pada tahun lalu.
Sebelum ini saya ada campur
tangan ketika pertama kali dia ingin meletakkan jawatan dan berjaya memujuknya
untuk kekal membimbing skuad negara tetapi kali ini saya terima peletakan
jawatannya.
Dia sudah tidak ada semangat
untuk membimbing skuad ini dan saya ucapkan terima kasih atas segala usaha yang
telah dilakukannya selama ini," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140121/su_06/Khairy-mahu-bertemu-Chong-Wei-terima-keputusan-Revington#ixzz2r1j0HG3g
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment