IPOH - Ketua jurulatih Perak,
Abu Bakar Fadzim memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar tidak mengulangi
kesilapan ketika kalah 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pembukaan
Liga Super, Sabtu lalu apabila berdepan Pahang pada perlawanan Piala FA di
Ipoh, malam ini.
Abu Bakar juga menegaskan,
beliau tidak akan lagi mengguna taktik bertahan seperti yang dipamerkan Sabtu
lalu, sebaliknya mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan sebagai tuan rumah untuk
menyerang Pahang secara habis-habisan.
Justeru, beliau menuntut semua
pemainnya memberikan komitmen serta disiplin pada tahap seratus peratus
sepanjang 90 minit perlawanan penting itu.
"Kami mengakui kekuatan
Pahang ketika ini, lebih-lebih lagi pasukan itu baru sahaja memenangi Piala
Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan pertama, jadi moral mereka tentu sangat
tinggi.
"Namun, itu tidak
menakutkan kami. Perak akan keluar menyerang Pahang di rumah kami sendiri
secara habis-habisan. Kami mempunyai barisan pemain yang boleh mengatasi Pahang
serta memenangi perlawanan malam esok (malam ini).
"Apa yang penting ialah
pemain tidak melakukan kesilapan dan tidak mensesiakan peluang menjaringkan gol
seperti yang berlaku ketika menentang JDT sebelum ini," katanya semalam.
Sabtu lalu, Perak tewas kepada
JDT 2-0 dan persembahan pasukan yang mendapat jolokan The Bos Gaurus itu
dikritik kerana dilihat lebih bertahan serta banyak melakukan kesilapan sendiri
sehingga dihukum pasukan tuan rumah.
Dalam pada itu, Abu Bakar
mengakui, beberapa pertukaran taktikal bakal dilakukannya untuk perlawanan
menentang Pahang.
Katanya, beberapa pemain,
termasuk Kyaw Zayar Win masih dalam pertimbangan sama ada mahu diturunkan atau
pun tidak berdasarkan persembahan hambar pemain import dari Myanmar itu Sabtu
lalu.
"Zayar Win masih belum
betul-betul cergas, dia juga mengalami kecederaan pangkal paha dan saya tidak
pasti sama ada dia akan diturunkan atau tidak. Saya akan lihat bagaimana
situasinya terlebih dahulu. Selain itu, Shahrizal Saad juga mengalami
kecederaan dan tidak akan diturunkan.
"Kami juga kehilangan
Mohammad Raffi Nagoorgani kerana digantung selepas dilayangkan kad merah pada
perlawanan lalu. Bagaimanapun, Mohd. Nasir Basharuddin hampir pasti diturunkan
esok bagi menguatkan bahagian tengah," ujarnya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140121/su_07/Bos-Gaurus-diingat-jangan-ulang-kesilapan#ixzz2r1v13pUy
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment