Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
Penyerang JDT, Amri Yahyah cuba
menyepak bola walaupun diasak oleh pertahanan Perak, Azmeer Yusoff dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. JDT
menang 2-0. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU - Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak
mahu Johor Darul Ta'zim (JDT) digelar sebagai pasukan bintang kerana merasakan
pasukan itu belum layak untuk memikul label sedemikian.
Tunku Mahkota Johor berkata,
JDT juga tidak memenangi sebarang trofi dalam persaingan Liga Malaysia musim
lalu sekali gus adalah tidak adil untuk sesetengah pihak memberi gelaran
pasukan bintang-bintang kepada skuad Harimau Selatan itu.
Malah, katanya, dengan
pelaburan yang dibuat pada musim ini juga, JDT tidak mengharapkan untuk melakar
kemenangan dengan sekelip mata sebaliknya segala pelaburan yang diterima adalah
bagi perancangan jangka panjang PBNJ.
"JDT bukan pasukan
bintang. Kami juga tidak berdepan sebarang tekanan dalam mengharungi saingan
Liga Malaysia musim ini, kalau menang sebarang piala Alhamdulillah, tapi kalau
tidak menang tidak mengapa.
"Tekanan sebenarnya kepada
penyandang-penyandang iaitu juara Liga Super, Lions XII, Kelantan (Piala FA)
dan Pahang (Piala Malaysia), kami hanya pasukan yang sedang memburu
kemenangan," katanya dalam sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, di sini
semalam.
Bagaimanapun, Tunku Ismail
berharap JDT mampu menamatkan kempen Liga Malaysia dengan menempah slot ke
Piala AFC.
JDT memulakan kempen Liga Super
musim ini dengan mengutip mata penuh apabila menewaskan Perak 2-0 malam
semalam.
Sementara itu, Tunku Ismail
berkata, pihaknya akan meneruskan pelan pembangunan bola sepak di negeri ini
meliputi semua peringkat dalam usaha memartabatkan sukan popular ini ke
peringkat lebih tinggi.
"PBNJ sentiasa berusaha
untuk menjadikan pasukan Johor menjadi pasukan yang mantap. Malah kami lebih
fokus kepada pembangunan pemain tempatan, khususnya bakat muda untuk digilap ke
peringkat lebih tinggi," katanya.
Tunku Ismail memberitahu, PBNJ
juga merancang untuk membina sebuah stadium baharu di Nusajaya bagi pasukan
JDT, yang turut dilengkapi akademi bola sepak PBNJ serta pusat latihan.
Beliau turut menggambarkan
stadium baharu itu, yang dijangka mula dibina tahun ini, bakal setaraf stadium
bagi pasukan Bayern Munich, Allianz Arena.
"Apabila siap kelak, JDT
akan beraksi di situ, Stadium Tan Sri Hassan Yunos bakal menjadi stadium
pasukan JDT II dan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang menjadi tempat
pasukan Piala Presiden beraksi," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140120/su_07/Belum-layak-digelar-pasukan-bintang---TMJ#ixzz2r1wDcsyP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment